600 pelajar SMK Taman Kosas sertai KPS ACT-i Jelajah Antirasuah
Respons diterima warga sekolah terbabit sangat positif dan luar biasa
Program KPS ACT-i Jelajah Antirasuah anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Bhd) dan Rasuah Busters merupakan permulaan dalam mengimplementasikan tonggak pendidikan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, susulan itu pasukan Rasuah Busters mendukung aspirasi digariskan kerajaan untuk membawa kesedaran mengenai rasuah dan integriti dalam kalangan pelajar sekolah.
“Program mendedahkan pelajar mengenai kesedaran umum, dasar kepada makna integriti, rasuah, senario yang memungkinkan bibit jenayah ini berlaku dan paling penting adalah peranan setiap individu bagi memastikan rasuah dibanteras di pelbagai peringkat tidak mengira umur, jawatan atau siapa pun kita.
“Inilah yang amat penting kita tekankan, tanggungjawab untuk bersama-sama menyelamatkan negara daripada jenayah rasuah. Alhamdulillah, penyertaan pelajar dalam aktiviti interaktif yang kami laksanakan di lima sekolah terpilih sangat luar biasa.
“Ia menelusuri semua kaum dan kebersamaan, komen dan jawapan kepada kes yang diberikan pihak kami diberi perhatian dengan begitu teliti dan mendapat respons sangat positif daripada semua peserta,” katanya ketika ditemui pada program KPS ACT-i Jelajah Antirasuah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas, Ampang, Selangor pada Selasa.
Terdahulu, KPS Bhd dan Rasuah Busters meneruskan inisiatif pendidikan antirasuah melalui program KPS ACT-I Jelajah Antirasuah dengan melibatkan lima sekolah terpilih di Lembah Kelang.
Program diadakan bermula dari 31 Julai hingga 20 Ogos bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan integriti dan menolak rasuah.
SMK Taman Kosas merupakan sekolah kelima yang juga terakhir selepas SMK Presint 9 (2) di Putrajaya dan SMK Seksyen 7, SMK Seksyen 19 serta Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Taman Kosas, Zulkifli Che Shukri berkata, program disertai lebih 600 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat sangat bagus kerana menerangkan mengenai integriti dan memberi pemahaman jelas mengenai kesan buruk rasuah.
“Sememangnya kita perlu dedahkan pelajar di peringkat lebih awal seperti peribahasa 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'. Jadi program seperti ini memang patut dan wajar diadakan bagi memberi kesedaran kepada mereka tentang pentingnya integriti dan berani menolak rasuah.
“Pada masa sama, program ini juga menjadi ilmu tambahan kepada pelajar bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terutama untuk subjek Pendidikan Islam dan Moral, selain imbuhan aktiviti dalam kokurikulum.
“Diharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan, mungkin boleh melibatkan pelajar Tingkatan Satu dan Dua pula. SMK Taman Kosas sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan acara bermanfaat buat pelajar dan guru,” katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat, Nur Ardini Sofia Fairul Fahmi berkata, pembentukan budaya cegah rasuah pada usia muda adalah langkah penting dalam melahirkan generasi yang berani menolak rasuah.
“Kehadiran KPS Bhd dan Rasuah Busters ke sekolah sangat membantu dalam mendidik pelajar lebih berintegriti, jujur dan tulus serta tidak memberi rasuah kepada sesiapa,” ujarnya.
Pelajar Tingkatan Tiga, Amir Sofiy Ahmad Amzan pula berpendapat, jenayah rasuah sememangnya boleh menghancurkan negara jika tidak dibendung habis-habisan.
Ujarnya, semua individu perlu ada sifat integriti yang tinggi dan elakkan diri daripada memberi atau menerima rasuah kerana ia bukan sahaja merosakkan diri tetapi juga melibatkan orang di sekeliling.
Seorang lagi pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Hasif Salmi mengakui program berkenaan merupakan ilmu baharu yang sangat berguna buat dirinya dan semua pelajar.
Jelasnya, ia juga mendedahkan pengajaran tentang keburukan akibat mengambil rasuah dan cara mengatasinya.
“Program ini mendedahkan mengenai bahaya rasuah kerana jenayah itu bukan hanya melalui pemberian wang. Ia termasuk menipu dan mencuri serta salah guna kuasa dalam aktiviti seharian. Saya dan rakan- rakan gembira kerana boleh menambah ilmu baharu hari ini,” katanya.