
692 ahli Pengakap Melaka terima penganugerahan rambu
Seramai 692 ahli Pengakap dari seluruh Negeri Melaka menerima pengiktirafan dalam Majlis Penganugerahan Rambu Pengakap Kanak-kanak, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana Negeri Melaka 2025 baru-baru ini.
Program yang dianjurkan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka (PPMNM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) bertujuan mengiktiraf pencapaian ahli Pengakap yang berjaya melengkapkan latihan dan ujian rambu mengikut peringkat masing-masing.

Menurut PPMNM, penganugerahan ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program kepengakapan di peringkat sekolah dan daerah.
“Ia menjadi pemangkin pembentukan sahsiah, disiplin dan kepimpinan dalam kalangan murid serta belia,” katanya.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong itu disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Hadir sama barisan kepimpinan Pengakap negeri dan daerah, wakil JPNM, pengetua dan guru besar, guru penasihat Pengakap serta ibu bapa penerima anugerah.
Pada majlis tersebut, seramai 434 Pengakap Kanak-kanak, 147 Pengakap Muda, 97 Pengakap Remaja dan 14 Pengakap Kelana menerima rambu masing-masing yang melibatkan penyertaan daripada enam daerah di seluruh Melaka.

Program tersebut turut mencatat detik bermakna dengan pelancaran dua buku digital bertajuk Mudahnya Melengkapkan Lencana Pengakap Tingkatan 1 iaitu Siri 1 dan Siri 2.
Buku digital berkenaan dibangunkan sebagai bahan sokongan latihan bagi membantu guru penasihat dan ahli Pengakap melaksanakan latihan lencana secara lebih tersusun, sistematik serta selari dengan pendekatan pendidikan digital masa kini.
Ringkasan AI
- Seramai 692 ahli Pengakap dari seluruh Negeri Melaka menerima pengiktirafan dalam Majlis Penganugerahan Rambu Pengakap
- Program ini dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka
- Penganugerahan mencerminkan keberkesanan program kepengakapan dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan kepimpinan
- Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali
- Penghargaan merangkumi empat kategori Pengakap iaitu Kanak-kanak, Muda, Remaja, dan Kelana, dengan pelancaran dua buku digital sebagai bahan sokongan latihan
