
Dikir barat 'Hati Berkene' jadi tarikan utama Sambutan Hari Kanak-Kanak SK Banggu
Persembahan dikir barat yang menampilkan karya popular 'Hati Berkene' menjadi tumpuan utama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu, Kelantan sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah baru-baru ini.
Kumpulan dikir barat yang dibarisi murid-murid sekolah berkenaan berjaya menyerlahkan potensi dan kreativiti mereka sekali gus membuktikan bahawa seni tradisional Kelantan terus subur dalam kalangan generasi muda.
Antara ahli kumpulan itu ialah Muhammad Aiman Kamal atau lebih dikenali sebagai Mey Eloo yang berperanan sebagai jogho.
Mey Eloo merupakan murid yang aktif mengadakan persembahan dikir barat di luar waktu sekolah khususnya di sekitar Kelantan.
Turut memperkukuh persembahan ialah dua lagi murid berbakat, Muhammad Raqib Riswadi dan Ahmad Fahim Wafiyyuddin Ahmad Safarman, yang membawakan lagu 'Hati Berkene' nyanyian asal Allahyarham Megat Nordin dengan penuh penghayatan.

Guru Besar SK Banggu merangkap Penasihat Program, Cikgu Md Roslan Mohamad berkata, Sambutan Hari Kanak-Kanak bukan sekadar acara tahunan, malah platform penting membina identiti dan sahsiah murid melalui aktiviti berimpak.
"Melalui penyertaan aktif, murid dapat memupuk nilai hormat, kerjasama, kasih sayang serta semangat perpaduan.
"Aktiviti pentas seperti ini juga mampu meningkatkan keyakinan diri dan menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman," katanya ketika merasmikan majlis.

Selain persembahan dikir barat, pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan.
Murid Tahap Satu diberi peluang menghasilkan Robot Imaginasi manakala murid Tahap Dua meneroka kreativiti melalui aktiviti Tangan Robotik berteraskan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Kurikulum, HEM dan Kokurikulum sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan murid sepanjang tahun.

Penyelaras Program bagi majlis anugerah, Cikgu Siti Samihah Abd Rashid berkata, sambutan ini membantu meningkatkan kesedaran warga sekolah mengenai hak kanak-kanak selaras dengan prinsip kesejahteraan dan perlindungan.
"Murid perlu sedar bahawa mereka berhak untuk belajar dalam persekitaran yang selamat, positif dan menyokong perkembangan diri.
"Program seperti ini juga menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk keseimbangan emosi dan sosial," ujarnya.

Ringkasan AI
- Persembahan dikir barat dengan karya 'Hati Berkene' menjadi tumpuan di SK Banggu, Kota Bharu sempena Hari Kanak-Kanak
- Murid-murid sekolah menunjukkan potensi dan kreativiti dalam seni tradisional Kelantan
- Murid aktif Mey Eloo menjadi jogho utama dengan rakannya Muhammad Raqib Riswadi dan Ahmad Fahim Wafiyyuddin membawakan lagu
- Sambutan Hari Kanak-Kanak dijadikan platform membina identiti murid melalui aktiviti berimpak
- Pelbagai aktiviti lain seperti Robot Imaginasi dan Tangan Robotik berteraskan STEM turut dianjurkan
