No Image Caption

71,290 calon lepasan STPM, setara ditawar tempat universiti awam

06 Sep 2024 03:50pm

Sejumlah 71,290 daripada 105,424 permohonan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian di universiti awam.

Pengumuman yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa, sebanyak 1,114 program pengajian Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.

"Secara keseluruhannya, jumlah yang ditawarkan tempat di universiti awam membabitkan 77.47 peratus.

"Kemasukan pelajar ke institusi-institusi ini dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan menyusun kesemua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga paling rendah," menurut KPT pada Jumaat.

No Image Caption

Bagaimanapun, bagi calon yang tidak mendapat tempat pengajian, KPT telah pun membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 6 September, jam 12 tengah hari sehingga 15 September, jam 5 petang.

Untuk rekod, permohonan kemasukan ke universiti awam turut membabitkan lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), matrikulasi, asasi dan diploma yang dibuat menerusi saluran UPUOnline.

"Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya," menurut KPT.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp