8,909 daripada 93,635 calon berjaya ditawarkan tempat ke MRSM tahun ini
Seramai 8,909 pemohon berjaya ditawarkan tempat ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dengan kapasiti kemasukan 7,229 pelajar Tingkatan Satu dan 1,680 bagi pelajar Tingkatan Empat.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bilangan itu merangkumi sebahagian daripada jumlah keseluruhan calon yang memohon.
"Untuk kemasukan tahun ini, Mara menerima 93,635 permohonan ke Tingkatan Satu dan Empat, dengan semua pemohon diwajibkan melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).
"Mara masih mengekalkan asas sedia ada dengan 60 peratus penawaran adalah kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan keutamaan juga diberikan kepada pemohon luar bandar dan miskin bandar," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan MARA Integrated Accounting Conference (MICA), Kuala Lumpur pada Isnin.
Asyraf Wajdi berkata, pemohon yang layak dan masih belum mendapat tawaran boleh membuat semakan pertama pada hari ini manakala semakan kedua boleh dilakukan pada 27 Januari; semakan ketiga (3 Mac) dan semakan keempat (17 Mac).
"Pelajar yang berjaya diingatkan membuat pengesahan terima atau tolak tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari.
"Mereka yang tidak membuat pengesahan dalam tempoh ditetapkan akan dianggap menolak tawaran ke MRSM," katanya dengan menambah tawaran yang diterima calon membabitkan 57 MRSM di seluruh negara termasuk di MRSM Ranau dan MRSM Bintulu.