
Asyraf Wajdi terjah Kolej Profesional Mara, terima aduan penggunaan wifi terhad hingga 11 malam
Misi #TerjahMRSM yang dijalankan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki masih diteruskan dan ia bukan sahaja melibatkan institusi pendidikan tersebut malah turut membabitkan beberapa institusi lain di bawah Mara.
Menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok Asyraf Wajdi, beliau telah melaksanakan misi terjah di Kolej Profesional Mara (KPM) Indera Mahkota, Pahang bagi melihat sendiri beberapa masalah melibatkan kebajikan pelajar di sana.
Tulisnya, tinjauan itu dibuat berikutan beberapa mesej dan komen yang diterima menerusi media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook daripada ibu bapa serta pelajar yang mengadu beberapa isu seperti kebersihan kafe, keadaan fasiliti seperti tandas, asrama dan siar raya musala.

Lebih memeranjatkan, penggunaan jalur lebar (wifi) turut dihadkan hingga pukul 11 malam menjadikan para pelajar sukar membuat tugasan selepas waktu tersebut sedangkan mereka kini sudah berada di institusi pendidikan tinggi.
"Saya rasa okey sahaja untuk buka wifi kerana pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pun dibuka 24 jam setiap hari.
"Jadi untuk wifi dibuka 24 jam bukan ada had hingga 11 malam sahaja,” katanya.
Malah menerusi terjahan di kawasan dapur salah sebuah kafe KPM mendapati, keadaan yang tidak enak mata memandang turut mengundang rasa kecewa Asyraf Wajdi kerana ia melibatkan soal kesihatan makanan para pelajar.

"Saya sendiri amat kecewa dengan keadaan dapur salah sebuah kafe di sini. Kalau tidak kerana wakil pelajar maklumkan dan bawa saya ke sini pasti keadaan ini akan berterusan.
"Saya sudah arahkan pengarah KPM untuk selesaikan segera dalam tempoh tiga bulan ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, pihak Mara turut meluluskan peruntukan tambah baik KPM sebanyak RM3.1 juta yang mana jumlah itu adalah lebih banyak diberikan berbanding MRSM.

"Alhamdulillah, pengarah pun kebetulan ada sewaktu saya terjah. Banyak perkara dapat diselesaikan.
"Malah beberapa aduan ibu bapa dan pelajar telah diangkat kepada pengurusan Mara sebelum ini. Moga dengan penambahbaikan fasiliti dan polisi baru penggunaan wifi dapat dimanfaatkan pelajar untuk meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan KPM," katanya.