Pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah membabitkan semua institusi pendidikan di bawah KPM kini dibenarkan ketika cuaca panas.
Pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah membabitkan semua institusi pendidikan di bawah KPM kini dibenarkan ketika cuaca panas.

Aktiviti luar bilik darjah dibenarkan semula

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Jun 2023 02:11pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi catatan di Facebook pada Rabu telah membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah membabitkan semua institusi pendidikan di bawah KPM.

Walaupun kebenaran telah diberikan, KPM tetap memberi perhatian dengan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa berhadapan dengan fenomena cuaca panas terjamin.

Kebenaran pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah itu adalah berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas yang boleh di muat turun melalui pautan INI.

Selain merujuk garis panduan yang diberikan, semua institusi pendidikan bawah KPM juga hendaklah mematuhi 11 perkara penting seperti berikut;

1) Memastikan penyertaan murid adalah sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa dan penjaga.

2) Menerangkan kepada murid langkah pencegahan, simptom dan tindakan rawatan.

3) Menggalakkan murid memakai pakaian yang bersesuaian dan berwarna cerah.

4) Menyediakan kemudahan penyejukan seperti tempat berlindung (kanopi dan payung), ais atau tuala basah.

Artikel Berkaitan:

5) Memastikan murid minum air yang mencukupi sebelum, semasa dan selepas aktiviti dengan menyediakan bekalan air minuman yang mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

6) Memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

7) Membenarkan waktu rehat tambahan semasa aktiviti dan waktu pemulihan (cooling down) yang mencukupi.

8) Membuat penyesuaian tempoh, waktu mula dan waktu tamat acara atau aktiviti berdasarkan perubahan cuaca persekitaran.

9) Merujuk kepada klinik atau hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang kes dan komplikasi kepada murid akibat fenomena ini.

10) Melaporkan kes-kes berkaitan keselamatan dan kesihatan murid kepada ibu bapa dan penjaga dengan kadar segera.

11) Menangguhkan semua aktiviti luar yang sedang berlangsung sekiranya berlaku peningkatan suhu melebihi 35 darjah Celsius

Dengan adanya Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas ini, diharapkan ia dapat memastikan pengurusan pelaksanaan aktiviti luar dapat dilaksanakan secara teratur.

Aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan warga institusi pendidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok