‘Alhamdulillah anak dan tiga rakan sudah ditemui’. Bapa kongsi berita gembira tentang murid Darul Quran Ittifaqiyah
Semalam, Sinar Bestari melaporkan kehilangan empat murid dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur yang dikatakan tiada di tahfiz itu sejak Isnin lalu.
Kehilangan mereka dikongsi salah seorang bapa murid, Rasidi Othman yang memuat naik hantaran di Facebook dan merayu orang ramai mengesan keberadaan anaknya, Muhammad Abdul Razak, 12.
Malah, tiga lagi rakan, Muhammad Ammar Darwish Mohd Farid, 10; Muhammad Ammar Danish Mohd Farid, 12 dan Ahlami Idraqy Mohd Hisyam, 12 juga hilang sekali gus merungsingkan seluruh rakyat Malaysia kerana usia mereka yang masih muda.
Usaha pencarian empat murid akhirnya membawa berita berita apabila Rasidi memaklumkan yang anak dan kawan-kawannya selamat ditemui.
"Alhamdulillah, syukur mereka sudah dijumpai dan kini berada dalam pengawasan pihak polis.
"Kesemua ditemui di Bangi, Selangor,” katanya seperti dipetik portal tempatan.
Memetik perkongsian warga maya di Facebook, rata-ratanya melahirkan rasa syukur dengan penemuan empat murid ini.
Tidak kurang juga, ada yang memberi pandangan peribadi atas kejadian yang berlaku.
Jawahie Razib: Sedihnya, kesian anak-anak. Moga pihak berkuasa ambil tindakan. Moga ALLAH lindungi anak-anak ini.
Che Anah: Alhamdulillah dah jumpa. Harap mak ayahnya slow talk dengan anak-anak dan selami hati sebelum menjatuhkan hukuman. Lupakan sebentar amarah dan dengarkan rintihan ikhlas mereka.
Rahana Abdul Wahab: Balik tinggal bersama keluarga. Masih budak lagi dan usia yang sepatutnya mendapat kasih sayang keluarga, adik beradik atuk nenek.
Mass Dme: Pihak berkuasa kena siasat betul-betul. Sekarang ni banyak tempat pengajian guna identiti tahfiz untuk mempergunakan kanak-kanak.
Amirul Mukmin: Budak ni sebenarnya lari atau sesat masa mengutip derma untuk sekolah?
Siti Aminah: Semoga tiada perkara buruk berlaku di mana-mana pihak. Ibu bapa perlu ambil tahu perihal anak-anak walau mereka berada di asrama. Dah lama tak jumpa anak-anak tahfiz kutip derma. Harap mereka kutip derma demi kelangsungan hidup sementara nak jumpa jalan pulang dan bukan sebaliknya. Semoga anak-anak kita semua sentiasa dalam jagaan dan lindungan Yang Maha Esa tanpa sebarang keburukan dari semua kurniaanNya kepada kita.
Mohd: Ada yang kata, mereka dijumpai sedang menjual di jalanan dan mengutip derma. Betul ke?