everest4
everest4

Alumni bakal kibar bendera UPM di puncak Everest

Nor Azma  Muhamat Laila
05 Apr 2022 03:26pm
A
A
A

Pendaki yang juga alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Ravichandran Tharumalingam bakal menawan Gunung Everest buat kali ketiga apabila mengumumkan misi ekspedisi mendaki pada pertengahan Mei 2022 sehingga Jun 2022.

Dalam ekspedisi kali ini, Ravichandran akan mengibarkan bendera UPM di puncak tertinggi dunia itu dan hasrat itu telah disambut baik pihak universiti sebagai satu Misi UPM Di Puncak Dunia @ Everest.

Dengan slogan #daripadaalumnikepadaupm, misi ini adalah satu tanda solidariti dan sokongan alumni terhadap aspirasi ke-11 naratif Naib Canselor 2022 iaitu melibatsamakan alumni untuk kelangsungan universiti.

Majlis penyerahan bendera UPM Di Puncak Dunia@Everest telah berlangsung pada Majlis Konvokesyen UPM ke-45, sesi ketiga, 21 Mac lalu yang disempurnakan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Roslan Sulaiman kepada Ravichandran di hadapan lebih kurang 60 graduan.

Pada majlis itu juga turut dilancarkan tabung sumbangan Misi UPM Di Puncak Dunia@Everest yang mana hasil sumbangan itu nanti akan disalurkan kepada para pelajar UPM yang memerlukan.

Dengan terlaksananya program ini, UPM bakal mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengibarkan bendera UPM di puncak tertinggi dunia dan istimewanya ia dilakukan oleh Ravichandran yang merupakan alumni Kelas 1990.

Sementara itu, Roslan berkata, misi ini adalah satu pengiktirafan kepada UPM sebagai sebuah menara ilmu dan berharap semangat yang ditonjolkan oleh Ravichandran diteladani oleh seluruh warga universiti.

"Inilah semangat alumni berbakti yang diharapkan dan tidak seharusnya dalam bentuk wang ringgit saja, malahan semangat cinta akan alma mater dengan cara begini juga adalah dituntut.

"Menerusi semangat jati diri yang tinggi begini pasti dapat mereaslisasikan misi UPM dalam melahirkan pelajar sebagai warganegara yang baik sekali gus bakal mewarisi kepimpinan dan memimpin negara pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bendera UPM kepada Ravichandran, baru-baru ini.

Pada majlis itu juga, Ravichandran turut memohon semua warga UPM agar dapat memberikan kata-kata semangat dan positif di laman Facebook miliknya sebagai satu tanda sokongan moral yang mencerminkan semangat kebersamaan dalam menjayakan misi kali ini.

Beliau juga mengharapkan sesi latihan terakhirnya di sekitar pergunungan Nepal berjalan lancar.

Bagi Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Profesor Madya Dr Arba’ie Sujud, ekspedisi ini adalah julung kali diadakan oleh alumni UPM dalam membawa Misi UPM Di Puncak Dunia @ Everest.

"Pastinya kejayaan ini akan mencatat satu sejarah yang cukup manis kepada UPM kerana usaha ini bakal direalisasikan oleh alumni UPM sendiri.

"Lanjutan daripada misi ini, diharapkan para mahasiswa UPM yang berminat dengan aktiviti pendakian akan dibimbing dan diberikan pendedahan oleh Ravichandran menerusi siri motivasi yang bakal dikendalikan nanti.

"Saya mewakili seluruh warga UPM terutamanya alumni akan terus menyokong dan sentiasa mengalu-alukan hasrat alumni dalam membawa nama UPM di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok