Untitled (3)
Untitled (3)

Alumni PALAPES UniMAP bantu pegawai kadet tingkatkan kecemerlangan

Nor Azma  Muhamat Laila
27 Oct 2021 04:13pm
A
A
A

PAUH PUTRA – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ditubuhkan bagi menyokong usaha kerajaan dan universiti awam (UA) dalam membentuk kualiti seorang warganegara yang berdisiplin serta mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi salah satu UA yang turut menerapkan elemen memasyarakatkan universiti dalam kalangan PALAPES apabila julung kali menganjurkan Majlis Libat Urus Komandan bersama Alumni PALAPES dan Pegawai Kadet , baru-baru ini.

Naib Canselor yang juga Komandan PALAPES UniMAP, Lt Kol Prof Dr Zaliman Sauli berkata, majlis berkenaan diadakan bagi mengumpul semua alumni PALAPES UniMAP untuk terus kekal berbakti kepada universiti.

Ujarnya, alumni disaran mengadakan pelbagai aktiviti serta perancangan dalam bentuk idea mahupun sumber kewangan bagi menyumbang kepada kecemerlangan PALAPES UniMAP dalam semua peringkat.

“Saya mengharapkan usaha murni ini akan diteruskan untuk tahun-tahun mendatang menerusi kerjasama dengan Pusat Perhubungan Alumni (PPA) UniMAP untuk memastikan impak lebih besar dan menyeluruh di samping terus menjaga diri masing-masing dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” kongsi beliau di laman sosial miliknya, selepas menghadiri majlis berkenaan di Markas PALAPES UniMAP Kubang Gajah.

Turut hadir, Mejar Pemangku Timbalan Komandan, Muhamad Azuan Mohamad Nasir; Ketua Jurulatih, Mejar Kamaruzaman A Kadir serta Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Pegawai Latih dan Pegawai Sukarela, Dr Mohd Zakimi Zakaria.

Sempena majlis berkenaan, turut diadakan penyerahan sebanyak 13 buah komputer riba berjumlah RM26,500 daripada alumni PALAPES kepada pegawai kadet bekeperluan dalam kategori B40.

Tambah Prof Zaliman, sumbangan seperti ini amat dialu-alukan bagi membantu pegawai kadet PALAPES yang masih mengikuti pengajian di UniMAP sekali gus memberi suntikan semangat kepada mereka meningkatkan kecemerlangan.

“Kecemerlangan dalam pengajian turut menjadi kebanggaan kepada warga PALAPES, justeru saya berharap sokongan ini mampu meringankan beban pegawai kadet seterusnya dapat belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan,” kata beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok