Nik Mohd Khairuddin (kiri) menerima cenderamata disampaikan oleh Pengetua MRSM Kuala Krai, Ismail Deraman (tengah).
Nik Mohd Khairuddin (kiri) menerima cenderamata disampaikan oleh Pengetua MRSM Kuala Krai, Ismail Deraman (tengah).

Alumni sulung MRSM Kuala Krai sampaikan sijil graduasi

ADILA SHARINNI WAHID
28 Jan 2024 02:28pm
A
A
A

Selepas melahirkan ramai cendekiawan dan golongan profesional pelbagai bidang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai memberi penghormatan kepada alumni sulungnya menyampaikan sijil sempena Majlis Graduasi ke-20, Khamis lalu.

Ts Dr Nik Mohd Khairuddin Nik Ismail yang juga Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi turut merasmikan majlis di hadapan guru yang pernah bersama-sama mendidik beliau semasa belajar di MRSM tersebut 20 tahun dulu.

Nik Mohd Khairuddin berkata, ia merupakan penghormatan yang unik dan beremosi selain mengimbau kembali majlis graduasi pertama MRSM Kuala Krai pada 6 November 2003.

“Pada majlis pertama itu, seramai 151 graduan menerima sijil termasuk saya.

“Selepas 20 tahun, saya pula menyampaikan sijil graduasi kepada 135 pelajar. Ibarat sireh pulang ke ganggang,” katanya di sini, pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kelantan, Fazli Rizal Ismail.

Majlis turut memberikan beberapa anugerah kepada para pelajar dengan penganugerahan istimewa seperti Anugerah Khas Terbaik Subjek, Anugerah Khas Pencapaian Terbaik SPMRSM, Anugerah Khas Pelajar Karismatik, Anugerah Khas Terbaik Kokurikulum, Anugerah Khas Terbaik Kepimpinan, Penerima Anugerah Khas Terbaik Akademik dan Anugerah Khas Pelajar Holistik.

Untuk rekod, Nik Mohd Khairuddin berlulusan Ijazah Doktor Falsafah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan seni bina kapal dan struktur terapung luar pantai.

Artikel Berkaitan:

Beliau memulakan perjalanan pendidikan menengahnya di MRSM Kuala Krai pada tahun 2002.

“Ia tahun pertama MRSM Kuala Krai beroperasi dan kami adalah kumpulan pelajar pertama di MRSM Kuala Krai ini.

“Saya mengingatkan para pelajar untuk terus menghargai peluang pendidikan yang disediakan di MRSM dan berusaha untuk meraih lebih banyak kejayaan di masa depan,” ujar beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok