Naza Naramza antara anak muda Malaysia yang semakin mencipta nama di luar negara dalam lapangan yang diceburi.
Naza Naramza antara anak muda Malaysia yang semakin mencipta nama di luar negara dalam lapangan yang diceburi.

Anak muda IKM Jasin lebar sayap ke Norway

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Jun 2024 02:52pm

Seronok melihat pencapaian anak-anak muda lepasan pelbagai institusi pendidikan yang menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pencapaian luar biasa mereka dalam dunia kerjaya kadang kala di luar jangkaan.

Mana tidaknya, pekerjaan yang mereka ceburi bukan ‘biasa-biasa’ dan yang paling mengagumkan, generasi belia ini berpeluang berkhidmat di seluruh dunia. Wow, kelu seketika.

3 Jun lalu, pengguna Facebook, Mohd Nassru telah memuat naik hantaran mengenai kejayaan adik lelakinya yang begitu berjaya dalam kerjaya diceburi.

Merupakan lepasan Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka, adik lelaki yang dikenali Naza Naramza kini salah seorang tenaga mahir expatriate di UNITECH Offshore AS, Bergen, Norway.

Tulis Mohd Nassru, sebelum adiknya berjaya dengan cemerlang dalam bidang pekerjaan, ada 'kisah tersendiri' tentang adik lelakinya yang mungkin ramai tidak tahu.

“Dalam mana-mana keluarga, akan ada yang diberi ujian tentang kekurangan bidang akademik.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

“Abang dan kakak...cikgu panggil mak ayah ke sekolah, untuk terima anugerah. Tapi adik bongsu yang sorang ini, mak ayah kena pergi ke sekolah ambil surat gantung sekolah. Itulah dia. Bertuah!

“Atas kertas, sukar menandingi adik-beradik yang lain. Tetapi, ada kelebihan sebalik ‘mendengar nasihat abang dan kakak,” kata Mohd Nassru.

Beliau (Mohd Nassru) bersama adik-beradik lain, telah menitipkan nasihat ringkas kepada Naza Naramza supaya menghabiskan pembelajaran peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperoleh sijil.

Dengan nasihat itu, Naza Naramza kemudiannya menduduki peperiksaan tersebut dan kemudian mengikuti jurusan fabrikasi atau kimpalan (welding).

Dia bermula di IKM Jasin bidang Welding Fabrication (sekarang dipanggil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3).

Kemudian, anak muda ini mengikuti kursus CSWIP 3.0 Visual Welding Inspector bersama MARA-Petronas dan pelbagai lagi bidang qualified specialists lain.

Sebaik sahaja dia yakin dengan kemampuan dan kemahiran yang ada, akhirnya Naza Naramza ‘dilamar’ pihak industri di Norway.

“Kini, adik saya telah jauh merantau. Semoga ceritanya membawa kebaikan kepada semua pembaca.

“Untuk Pok Aja, Jaga diri di tempat orang dan jangan tinggal solat,” akhiri Mohd Nassru di media sosial Facebook.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp