
Anak rela pindah sekolah demi persekitaran baharu
Pemindahan anak-anak ke sekolah bukanlah satu keputusan yang mudah, lebih-lebih lagi apabila sudah selesa di institusi pendidikan yang lama.
Ini kerana pelajar sudah mula mengenali rakan-rakan, guru-guru dan juga persekitaran sekolah yang kondusif.
Namun, berdasarkan perkongsian seorang ibu, Norazlina Mohd Rashid, 43, anak lelakinya secara sukarela meminta dipindahkan ke sekolah baharu demi menikmati persekitaran baik.

Ibu yang juga seorang guru memaklumkan anaknya meminta untuk dipindahkan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Rinching kepada SK Taman Pelangi Semenyih.
“Saya juga guru di SK Bandar Rinching dan yang peliknya anak saya minta pindah ke sini.
“Dia kata kepada saya mahukan persekitaran baharu dan tidak mahu satu sekolah dengan saya,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari selepas menghantar anaknya di sekolah.
Ditanya mengenai infrastruktur sekolah baharu, Norazlina memberitahu bahawa sekolah tersebut lengkap dengan meja belajar dan kerusi baharu sekali gus pihak pentadbiran menyediakan kelengkapan dalam kelas.
“Saya tengok sekolah baharu sangat cantik dan saya gembira anak saya memulakan sesi persekolahan dengan baik.
“Persekitaran sekolah baharu ini juga bagus, murid dalam satu kelas juga tidak ramai.
“Jadi, mudahlah untuk guru beri didikan dan fokus kepada murid-murid di setiap kelas,” katanya.