umt3
umt3

Azizulhasni terima Ijazah Kehormat UMT

Nor Azma  Muhamat Laila
24 Mar 2022 03:52pm
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Sosial sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-19, yang berlangsung baru-baru ini.

Penganugerah tersebut merupakan penghargaan tertinggi atas sumbangan atlet yang popular dengan nama 'the pocket rocket man' itu kepada pembangunan negara khususnya dalam sukan berbasikal.

Mohd Azizulhasni berkata, anugerah yang diterima itu amat bermakna buat dirinya sebagai seorang atlet negara sekali gus memberi impak positif kepadanya terutama membabitkan bidang akademik.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan tertinggi UMT di atas penganugerahan ini dan sudah tentunya kejayaan yang dikecapi hari ini bukan datang dengan mudah sebaliknya didorong beberapa aspek termasuklah pengurusan masa yang cekap.

“Pengurusan masa yang baik banyak membantu saya sebagai pelajar, ketua keluarga mahupun atlet negara, justeru saya berharap agar graduan hari ini memandang serius akan kepentingan pengurusan masa yang efektif kerana ia menjadi salah satu tunjang kecemerlangan," katanya menerusi rakaman video kepada UMT.

Mohd Azizulhasni adalah antara 2,542 graduan yang diraikan sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-19 yang berlangsung selama empat hari bermula 20 Mac lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Senat UMT juga bersetuju mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi kepada Tan Sri Mohammad Azlan Hashim yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT atas sumbangan dan kewibawaan memimpin badan-badan korporat serta membawa universiti sebagai gedung ilmu yang cemerlang di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, UMT juga menganugerahkan anugerah khas kepada 11 graduan sempena majlis konvokesyen itu dan antara penerima ialah Fatonah Mohd Zaidi dan Tan Swe Lan (Anugerah Pelajaran Diraja), Nur Syafiqah Mohd Maulana (Anugerah Pingat Emas Canselor), Mohd 'Ulul 'Ilmie Ahmad Nazri dan Kamelia Moh'd Khier Ahmad Almomani (Anugerah Pro Canselor) serta Khoo Shing Ching (Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti).

UMT turut mengangkat pelajar-pelajar terbaik fakulti sebagai penerima Anugerah Naib Canselor iaitu Ng Keng Kee (Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial), Jemimah Shalom B Peragas (Fakulti Sains dan Sekitaran Marin), Dania Qarrina Azman (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik), Muhammad Izzat Aiman Mohd Zainal Abidin (Fakulti Pengajian Maritim) dan Arissa Mohd Arshad (Fakulti Perikanan dan Sains Makanan).

Penganjuran majlis itu turut menganugerahkan ijazah secara anumerta kepada dua pelajar yang cukup aktif dan dinamik iaitu Muhammad Rashidullah Masbah (Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial) kerana mati lemas dan Nur Nabila Husna Zulkafli (Fakulti Perikanan dan Sains Makanan) yang meninggal dunia akibat penyakit Acute Pancreatitis.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok