Foto: Ihsan Kedah Kini
Foto: Ihsan Kedah Kini

Banjir dan SPM 2025: 53 calon di Kedah terjejas!

24 Nov 2025 09:50pm

Seramai 53 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah dikenal pasti terjejas banjir setakat 2.30 petang tadi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pelajar-pelajar terlibat merupakan calon SPM dari daerah Kulim/Bandar Baharu, Kubang Pasu dan Padang Terap.

"Sejumlah lapan calon SPM terlibat banjir di daerah Kulim/Bandar Baharu dengan dua sekolah turut terjejas. Lima pelajar kini ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lela Pahlawan manakala tiga lagi menumpang di rumah saudara-mara.

"Di daerah Kubang Pasu pula, 41 calon daripada SMK Changlun terjejas banjir dengan 26 daripadanya ditempatkan di asrama sekolah itu manakala bakinya akan turut dibawa ke asrama," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Abdul Rahim berkata empat calon pula terjejas di daerah Padang Terap dan kesemua mereka ditempatkan di asrama Maktab Mahmud Padang Terap.

Beliau berkata, calon SPM yang terjejas banjir akan ditempatkan di asrama sekolah mereka atau di asrama sekolah berhampiran dan akan mengambil peperiksaan di pusat berkenaan.

"Sekiranya sekolah pusat SPM terkesan banjir, lokasi peperiksaan akan dipindahkan ke sekolah lain yang mempunyai asrama. Semua pelajar boleh menginap di asrama sekolah yang digunakan untuk pemindahan pusat berkenaan," katanya.

Sementara itu, seorang daripada pelajar SMK Changlun yang terjejas banjir Rokiyah Sofi, 17, berkata bukan sesuatu yang mudah baginya apabila diuji sehari sebelum peperiksaan bertulis SPM bermula.

Artikel Berkaitan:

Rokiyah berkata, walaupun risau, namun dirinya perlu reda dengan bencana itu bagi meredakan tekanan setelah rumahnya di Kampung Lembah Keriang, Changlun dekat Jitra ditenggelami banjir.

"Saya terpaksa berpindah ke asrama dalam keadaan tergesa-gesa dan bawa apa yang perlu sahaja. Cikgu dah maklumkan lebih awal, jika keadaan buruk kena berpindah, tapi tak sangka banjir seteruk ini," katanya kepada pemberita di asrama SMK Changlun, dekat Jitra.

Seorang lagi pelajar terjejas banjir, Nur Iman Assyahid Abd Halim, 17, berkata bencana alam itu dianggap ujian yang membakar semangatnya untuk melakukan yang terbaik, di samping mendoakan semoga Allah gantikan kesusahan ketika ini dengan keputusan yang cemerlang.

Beliau berkata buat masa ini dia masih sehelai sepinggang kerana sewaktu ke sekolah awal pagi tadi, rumahnya belum dinaiki banjir dan tidak menyangka terpaksa terus tinggal di asrama bermula hari ini.

"Tadi ibu dan ayah maklumkan hanya sempat selamatkan apa yang patut dan mereka juga telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Sepanjang 17 tahun tinggal di Kampung Belukar Mukim Temin, baru dua kali rumah saya dilanda banjir dan kali ini paling teruk," katanya.

Annur Asyura Zulfah Mohamad Zahir, 17, dari Kampung Kubang Kayu pula berkata dia sempat menyelamatkan kelengkapan sekolah dengan meletakkannya di rumah jiran, sebelum membantu ibu bapanya menyelamatkan barangan lain di dalam rumah.

"Tingkat bawah rumah saya sudah tenggelam, tak tahu apa jadi dengan barang yang lain. Namun saya reda dan bersyukur dapat menumpang di asrama sekolah kerana lebih selesa berbanding PPS," katanya.

Sementara itu, pihak sekolah memaklumkan kebajikan kesemua calon SPM di SMKC akan dijaga sebaiknya dan akan memastikan setiap kelengkapan diperlukan dapat disediakan secepat mungkin demi keselesaan mereka. - Bernama

Ringkasan AI

  • Seramai 53 calon SPM di Kedah dikenal pasti terjejas banjir
  • Pelajar terlibat dari daerah Kulim/Bandar Baharu, Kubang Pasu dan Padang Terap
  • Lapan calon di Kulim/Bandar Baharu dengan dua sekolah terjejas, 41 calon dari SMK Changlun di Kubang Pasu, dan empat di Padang Terap
  • Calon yang terjejas akan ditempatkan di asrama sekolah mereka atau berhampiran untuk mengambil peperiksaan
  • Sekolah pusat SPM yang terkesan banjir akan memindahkan lokasi peperiksaan ke sekolah lain yang mempunyai asrama
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp