
KPM aktifkan pelan kontigensi hadapi banjir sepanjang SPM 2025
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan pelan kontigensi secara menyeluruh bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lancar meskipun berlangsung ketika musim tengkujuh.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, semua risiko termasuk kemungkinan banjir, laluan terputus serta gangguan pada pusat peperiksaan telah dikenal pasti melalui pemantauan awal oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"KPM bersama Lembaga Peperiksaan melaksanakan persediaan rapi sejak September melalui simulasi khas di Kuala Terengganu bagi menilai cabaran sebenar ketika air naik secara mendadak," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau perjalanan hari pertama SPM di SMK Putrajaya Presint 11(1) pada Selasa.
Beliau menjelaskan, simulasi itu membolehkan kementerian merangka strategi terperinci termasuk penempatan calon, pengekalan akses kepada kertas soalan serta sokongan logistik di kawasan berisiko tinggi.
Kementerian katanya turut mengadakan mesyuarat koordinasi melalui OPS Payung bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta agensi lain bagi menyelaras bantuan kepada calon dan pengawas peperiksaan yang terkesan.
"Kerjasama rentas agensi itu memastikan setiap pusat peperiksaan menerima tindak balas pantas sekiranya berlaku banjir atau gangguan lain sepanjang tempoh peperiksaan," jelas beliau.
Beliau menambah, KPM juga mengarahkan JPN mengenal pasti pelajar yang rumahnya berhadapan risiko laluan terputus akibat sungai melimpah atau jalan dinaiki air sebelum peperiksaan bermula.
"Sebahagian daripada mereka telah dipindahkan lebih awal ke asrama berdekatan bagi mengelakkan risiko tidak dapat hadir pada hari peperiksaan," katanya.
Menurut Mohd Azam, langkah awal itu berjaya mengurangkan tekanan keluarga serta memudahkan pengurusan keselamatan calon di kawasan yang dijangka mengalami hujan berterusan.
"Kementerian turut menempatkan kertas soalan di lokap balai polis bagi pusat peperiksaan yang kemungkinan terputus hubungan akibat banjir supaya peperiksaan dapat diteruskan tanpa kelewatan," katanya.
Beliau menegaskan tindakan itu hanya dilaksanakan di kawasan yang benar-benar berisiko tinggi dan memerlukan garis keselamatan tambahan.
Setakat Isnin, seramai 253 hingga 259 calon dikenalpasti terkesan dengan keadaan cuaca, namun telah diuruskan melalui langkah awal bersama ibu bapa dan agensi kerajaan lain.
Beliau menambah, guru pengawas turut menerima arahan jelas untuk menguruskan pergerakan pelajar di kawasan yang terputus laluan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.
"Kesemua Pengarah JPN telah memberikan laporan status persediaan dan semua mengesahkan peperiksaan bermula seperti dijadualkan tanpa sebarang gangguan besar," jelasnya.
Mengulas mengenai sekolah yang dijadikan Pusat Penempatan Sementara (PPS), beliau menjelaskan ia tidak menjejaskan peperiksaan SPM.
"Dewan peperiksaan tetap diutamakan (untuk SPM) dan bilik darjah digunakan sebagai alternatif jika diperlukan.
"Semua pelan kontingensi telah disusun sejak awal, termasuk memindahkan calon yang berisiko sebelum banjir berlaku," kata beliau.
Terdahulu, Mohd Azam meluangkan masa kira-kira 15 minit dengan 228 calon SPM SMK Putrajaya Presint 11(1) sebelum kesemua murid memasuki dewan peperiksaan.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia mengaktifkan pelan kontigensi untuk SPM 2025 agar lancar ketika musim tengkujuh
- Risiko banjir dan gangguan di pusat peperiksaan telah dikenal pasti dan simulasi khas dijalankan
- Kerjasama dengan agensi seperti NADMA dan Angkatan Pertahanan Awam diatur untuk penyelarasan bantuan
- Pelajar berisiko kerana banjir dipindahkan awal ke asrama berdekatan untuk mengelakkan masalah hadir peperiksaan
- Kertas soalan ditempatkan di lokap polis bagi pusat peperiksaan berisiko tinggi akibat banjir
