bernama-bank rakyat
bernama-bank rakyat

Bank Rakyat, YTM sumbang tablet dan kad sim kepada 240 pelajar asnaf

webadmin
12 Aug 2021 04:13pm
A
A
A

KUCHING - Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan Telekom Malaysia (YTM) menyumbang tablet kepada 240 pelajar asnaf berumur antara tujuh dan 17 tahun dengan nilai keseluruhan RM105,000 bagi membantu mereka mendapatkan akses bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bank Rakyat dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi YTM turut menyumbang 740 kad SIM unifi Mobile #BEBAS yang bernilai lebih RM180,000 kepada pelajar sekolah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan sumbangan berkenaan kepada 40 orang daripada penerima itu sempena pelancaran Program BR Didik Digital di Santubong, kira-kira 40 kilometer dari Kuching.

Beliau berkata kementeriannya menyambut baik program kerjasama antara Bank Rakyat dengan YTM itu kerana pada waktu yang sukar akibat pandemik COVID-19 ini, ramai yang masih lagi terkesan terutamanya pelajar yang tidak semuanya bernasib baik dan berkemampuan untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu ini.

Katanya, jalinan kerjasama strategik sebegini merupakan satu daripada usaha menjadikan pendidikan inklusif kepada semua dan diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu menyokong sesi pembelajaran mereka.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar pula berkata, Program BR Didik Digital ini juga adalah seiring dengan Transformasi Sistem Pendidikan Negara ke arah Sistem Pendidikan Digital yang bertujuan meningkatkan kemahiran guru dan pelajar dalam aspek penggunaan peralatan teknologi maklumat.

Beliau berkata sumbangan tablet serta data internet ini selaras dengan Pelan Strategik Lima Tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) yang merangkumi ke arah aspirasi matlamat Pelan Pembangunan Lestari Bank Rakyat seterusnya mencapai ideologi bank.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, program ini merupakan satu daripada inisiatif dalam melaksanakan misi Rangka Kerja Kelestarian Bank Rakyat bagi menyediakan pembangunan komuniti yang berterusan serta menjamin pendidikan inklusif dan berkualiti.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, melalui komitmen berterusan dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara digital, YTM percaya setiap pelajar berhak mendapatkan pendidikan yang setara tanpa mengira lokasi dan status sosial keluarga mereka.

Selain di Sarawak, bantuan ini juga akan turut disalurkan kepada pelajar di sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Raja Syed Alwi Kangar (Perlis), sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra Langkawi (Kedah), SMK Paloh Gua Musang (Kelantan), SMK Kerteh (Terengganu), SK Satu, Jalan Hospital, Tapah (Perak) serta SMK Taun Gusi Kota Belud (Sabah).

Pelajar dari MRSM terpilih juga menerima sumbangan data Internet daripada YTM termasuklah di Arau (Perlis), Langkawi (Kedah), Balik Pulau (Pulau Pinang), Taiping (Perak), Serting (Negeri Sembilan), Kem Terendak (Melaka), Muar (Johor), Kuantan (Pahang), Terengganu dan Pengkalan Chepa (Kelantan). - BERNAMA

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok