Fadhlina telah mengarahkan pihak sekolah untuk memberi keutamaan terhadap aspek berkenaan memandangkan Putri Qisya kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi di Sungai Korok minggu lepas.
Fadhlina telah mengarahkan pihak sekolah untuk memberi keutamaan terhadap aspek berkenaan memandangkan Putri Qisya kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi di Sungai Korok minggu lepas.

KPM ambil tanggungjawab pantau psiko emosional Putri Qisya

13 Jul 2025 02:03pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kebajikan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, termasuk memantau tahap psiko emosional kanak-kanak itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak sekolah untuk memberi keutamaan terhadap aspek berkenaan memandangkan Putri Qisya kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi di Sungai Korok minggu lepas.

"KPM akan mengambil tanggungjawab penuh terhadapnya selagi dia di bawah KPM. Saya dimaklumkan juga Putri Qisya sangat rapat dengan guru kelasnya jadi saya minta beliau untuk memantau psiko emosi dan kebajikannya sepanjang dia belajar di sekolah ini dan kita doakan supaya dia diberi kekuatan.

No Image Caption

"Saya juga dimaklumkan Putri Qisya turut mendapat kaunseling daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dari semasa ke semasa,” katanya selepas menyantuni Putri Qisya di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, Kedah. 

Buat masa ini, Putri Qisya masih belum memulakan sesi persekolahan sepenuhnya kerana masih dalam peringkat pemulihan emosi dan kanak-kanak itu boleh kembali ke sekolah apabila semangatnya lebih kuat selepas ini.

Pada lawatan itu, Fadhlina turut menyampaikan Bayaran Tuntutan Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia, sumbangan daripada Yayasan Didik Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah kepada Putri Qisya.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu dan bapa saudara yang mengambil tanggungjawab untuk menjaga Putri Qisya," katanya.

No Image Caption

Dalam pada itu, Fadhlina turut berkongsi perbualan mengenai kesungguhan Putri Qisya untuk menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas tamat Tahun Enam, demi mengejar cita-citanya menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Putri Qisya ialah anak sulung pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang terkorban bersama empat anak mereka selepas kereta terbabas ke dalam Sungai Korok di sini pada 7 Julai.

Empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan, turut terkorban. - Bernama 

No Image Caption

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp