
Bantu pelajar lalui fasa peralihan usia
'A Night at Karangkraf' medium persediaan diri peserta
Siapa sangka tempat berhimpunnya para karyawan Kumpulan Karangkraf menjadi lokasi untuk pelajar bermalam sempena A Night at Karangkraf.
Peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang membolehkan mereka menyimpan impian dan mula mengejar cita-cita. Salah satunya, aktiviti Lawatan Kerjaya menjadi asbab peserta menyimpan impian besar untuk belajar bersungguh-sungguh.
Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, program dua hari itu turut memberikan maklumat mengenai cabaran dan perubahan yang bakal dihadapi sambil memupuk sikap positif, disiplin serta perubahan diri.
“Aktiviti berkumpulan yang disediakan juga mengeratkan silaturrahim dan memupuk semangat kerjasama. “Ia menjadikan pengalaman ini lebih bermakna dalam perjalanan mereka ke sekolah menengah.
“Alhamdulillah, program ini lancar. Namun, kami komited menambah baik pelaksanaannya agar ia lebih mantap dan memberi manfaat lebih besar kepada pelajar,” katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari satu malam bermula 12 hingga 13 Februari itu turut memperkenalkan kerjaya industri media secara menyeluruh. Sebelum ini, seramai 47 murid telah mengikuti program YES! Night at The Library pada Disember tahun lalu.
Meen Tahrin berkata, disebabkan sambutan yang memberangsangkan, pihaknya mengambil keputusan membuka lebih banyak penyertaan.


“Maklum balas dan pengalaman yang diperoleh mereka, dijadikan panduan memperkukuhkan lagi aspek pengisian, penyampaian dan keberkesanan program.
“Kita juga akan buat penambahbaikan modul agar ia lebih relevan dengan pelajar, di samping memperkenalkan aktiviti yang lebih menarik dan interaktif. “Hadiah juga diberikan sebagai dorongan buat peserta dan penglibatan individu luar seperti tokoh inspirasi atau pakar bidang tertentu akan dipertingkatkan,” katanya.

Meen Tahrin turut mengharapkan agar program seterusnya mendapat penyertaan dan sokongan syarikat-syarikat swasta untuk bekerjasama dengan Akademi Pendidikan Sinar Bestari terutamanya dalam aspek bantuan kewangan.
A Night at Karangkraf menerima tajaan daripada Realme, KFC Malaysia, Kerajaan Negeri Pahang, MD Pharma, Oilum, Gardenia, Skop Productions, Pusat Khidmat Rakyat, Taylor’s College, Secret Recipe, Able Farm, GM Klang, Polis Diraja Malaysia dan Klinik Kesihatan Daerah Petaling.


‘Mahu sertai lagi’
Maklum balas setiap peserta adalah sama iaitu mahu sertai A Night at Karangkraf lagi selepas ini.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli yang menghadiri slot kemuncak A Night at Karangkraf iaitu Talent Time. “Maklum balas pelajar dan ibu bapa hampir sama iaitu mereka meminta pihak Akademi Pendidikan Sinar Bestari menganjurkan lagi program itu kelak. “Mendengar respons itu membuatkan penganjur berasa sangat gembira.
“Walaupun hanya dua hari satu malam, program ini meninggalkan kesan yang mendalam buat peserta,” katanya.

Ditanya kejayaan penganjuran, Zambri berkata, pihak Akademi Pendidikan Sinar Bestari dalam perancangan meneruskan program serupa pada cuti sekolah nanti.
“Cuma, kita sedang memperhalusi lokasi, pengisian dan sasaran peserta untuk kem cuti sekolah.
“Saya lihat para peserta sangat bersemangat ketika menjalankan aktiviti sukaneka seperti tarik tali, susun batu dan eksplorasi malam.
“Sewaktu persembahan Talent Time yang disaksikan ibu bapa juga mereka tanpa segan menunjukkan bakat luar biasa iaitu berlakon dan bercerita,” katanya.
