PAJSK bantu pelajar tentukan hala tuju
Ibu bapa dan guru disaran beri galakan serta semangat kepada pelajar
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kurikulum (PAJSK) menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum, khususnya dalam bidang sukan.
Ia memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mengembangkan kemahiran fizikal dan kepimpinan, di samping membentuk disiplin serta kerjasama dalam kalangan pelajar.
Tahukah anda, aktiviti kurikulum itu memastikan kemasukan pelajar ke sekolah menengah dan pengajian lanjut ke institusi pendidikan idaman masing-masing?
Jom kita ikuti perkongsian mengenai impak PAJSK dalam mencorak masa depan para pelajar!
Penyertaan pelajar dalam bidang sukan atau kurikulum bukan untuk mendapatkan markah semata-mata.
Dengan elemen pertandingan yang diterapkan menyebabkan pelajar mempunyai keinginan tinggi untuk menang dalam aktiviti yang dianjurkan.
Pelajar yang terpilih untuk menyertai mana-mana pasukan dalam pertandingan, tidak kira bidang sukan mahupun badan beruniform, akan menunjukkan komitmen mereka dalam pertandingan dan mahu bergelar juara.
Untuk mencapai kejayaan, dorongan daripada ibu bapa termasuk guru adalah amat penting.
Perkara itu dikongsi oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama, Chiah Wei Yuan, lebih mesra dipanggil sebagai Daniel yang mendapati dirinya tertarik menyertai pertandingan yang diadakan apabila mendapat sokongan daripada ibu bapa.
“Ibu bapa sentiasa menyokong saya dalam apa jua pertandingan.
“Pertandingan atau aktiviti luar bilik darjah, contohnya saya sudah mula latihan intensif untuk permainan pingpong supaya lebih bersedia.
“Ibu dan ayah korbankan masa dan wang untuk saya lebih mahir dalam arena sukan," katanya dalam podcast Bual Bestari baru-baru ini.
Menceritakan pengorbanan guru pula, Daniel, 13, mengakui latihan choral speaking bahasa Inggeris selama setahun menimbulkan keyakinan untuk dia memperoleh kejayaan.
Lebih menggembirakan lagi apabila Daniel berjaya mendapat juara di peringkat negeri dan terus mara ke peringkat kebangsaan.
“Cikgu melatih saya sejak dua tahun lepas (2023) dan disebabkan bantuan itu, saya telah menang juara peringkat negeri," ujarnya lagi sambil tersenyum.
Permudahkan pelajar capai impian
Pelajar cilik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serdang, Nur Afia Azzalea Jusly mengakui aktif dalam aktiviti kurikulum kerana mengidamkan sekolah berasrama penuh dan pengajian yang lebih lanjut.
“Saya pun ada sekolah idaman saya sendiri, jadi markah PAJSK ini amat penting bagi saya," ujarnya.
Ditanya mengenai persaingan antara rakan-rakan di sekolah, Nur Afia, 12, menjawab bahawa dia dan rakan-rakan lain sentiasa membantu antara satu sama lain untuk menyertai aktiviti berfaedah.
Baginya, perbincangan yang dilakukan bersama-sama mengenai pertandingan juga membantu mendapat markah PAJSK yang sama tanpa ada perasaan dengki atau iri hati.
“Persaingan antara kami agak sihat kerana saling memberi sokongan dan membantu terutama tentang mana pertandingan yang lebih sesuai untuk diri sendiri," ujarnya lagi.
Nur Afia turut menasihati rakan-rakan menyertai aktiviti kurikulum dengan lebih aktif memandangkan ia bukan sahaja menambahkan markah PAJSK, tetapi turut meningkatkan pengalaman.
INFO
Apakah PAJSK?
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kurikulum (PAJSK) adalah satu sistem pentaksiran yang dibangunkan untuk merekodkan markah aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum bagi para pelajar di seluruh Malaysia.
Ia digunakan oleh guru untuk memasukkan penilaian berkaitan aktiviti jasmani dan sukan yang dijalankan di sekolah.