Bantuan Awal Persekolahan RM150 diagih mulai 13 Januari
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memulakan agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 setiap seorang bermula 13 Januari ini.
KPM menerusi kenyataan media pada Jumaat memaklumkan, agihan itu melibatkan murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat sesi persekolahan 2024/2025.
"Bagi pelajar Tingkatan Enam Semester 2 dan Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026 pula, ia dijadualkan bermula 16 Februari depan.
"Manakala agihan kepada pelajar Tingkatan Enam baharu akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2025,” ujarnya dengan menambah, tahun ini merupakan pertama kali inisiatif BAP diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam.
Mengulas lanjut, KPM berkata, kerajaan Madani memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid.
"Agihan BAP akan dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan beberapa kaedah seperti serahan tunai kepada ibu bapa bagi sekolah rendah atau ibu bapa/murid (sekolah menengah); pengkreditan ke akaun bank murid atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa bermula 2025.
"Inisiatif BAP menyerlahkan keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan,” maklum KPM.