Fadhlina
Fadhlina

Bantuan Awal Persekolahan RM150: Ibu bapa dan penjaga tidak perlu mengisi borang permohonan

20 Oct 2023 05:32pm
A
A
A

Ibu bapa dan penjaga tidak perlu mengisi borang permohonan untuk mendapatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 yang diumumkan Isnin lepas kerana ia akan disalurkan mengikut rekod yang ada di sekolah anak masing-masing, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Bercakap kepada media selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan di Putrajaya pada Khamis, beliau berkata, BAP yang akan disalurkan Januari 2024 kepada setiap pelajar, akan dibuat sama seperti sebelum ini.

"(BAP) untuk semua pelajar. Kami mengekalkannya seperti tahun lepas. Dia (nama pelajar) memang ada di sekolah, rekod itu sudah ada, mereka (ibu bapa dan penjaga) hanya perlu pergi ke sekolah dan ambil macam biasa. Itu proses macam biasa, macam tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Isnin lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, khusus untuk tujuan BAP.

Kementerian memaklumkan bayaran BAP akan diberikan secara sekali bayar melalui sekolah dan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing, yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid. BERNAMA

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok