Bas membawa 35 penumpang itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM pada Sabtu.
Bas membawa 35 penumpang itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM pada Sabtu.

Bas bawa 30 murid & 5 guru Pasti kemalangan langgar pokok

02 Aug 2025 10:18pm

Tiga murid dan seorang guru cedera selepas bas dinaiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.18 tengah hari itu, bas membawa 30 murid dan lima guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang tersebut sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat menuju ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan lurus dan berturap, bas terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

"Bas itu kemudian melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian mengakibatkan tiga murid dan seorang guru mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, individu yang cedera dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pemandu bas terlibat yang merupakan lelaki warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp