
Bekas pelajar SMJK Katholik dinobat Grandmaster catur pertama Malaysia! 'Tidak mudah untuk sampai ke tahap ini' - Li Tian
Malaysia mencipta sejarah tersendiri dalam dunia sukan apabila buat julung kalinya, bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, Petaling Jaya, Selangor berjaya meraih gelaran tertinggi dalam catur iaitu Grandmaster (GM) yang dianugerahkan oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).
Difahamkan, Yeoh Li Tian, 25, menerima gelaran GM pertama negara selepas berjaya meraih norma ketiga dan melepasi penarafan 2500 dalam ranking FIDE melalui kemenangannya pada Kejohanan Jemputan Catur GM-IM 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dengan pengiktirafan itu, secara tidak langsung Li Tian telah menjadi sebahagian daripada kelompok elit kurang 2,000 GM di seluruh dunia dan ia merupakan satu penghormatan sepanjang hayat dalam dunia catur.
Mula bermain seni permainan papan seawal usia tiga tahun, Li Tian mengakui bahawa laluan untuk menjadi GM bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya ia menuntut banyak pengorbanan sejak kecil.

"Saya selalu beritahu orang bahawa saya tiada zaman kanak-kanak dan itu mungkin pengorbanan terbesar saya.
"Sejak kecil, termasuk ketika masih di bangku sekolah rendah, rutin harian saya hanyalah pergi ke sekolah, pulang, siapkan kerja rumah dan terus beri tumpuan penuh kepada catur,” katanya yang telah melanjutkan pengajian dalam bidang Matematik di Imperial College London seterusnya menyambung pengajian sarjana di Universiti Malaya. (Sumber: Wikipedia).
Mengulas kejayaannya merangkul gelaran GM di bumi sendiri, Li Tian menyifatkan detik tersebut sebagai antara paling bermakna dalam hidupnya apatah lagi selepas usaha hampir membuahkan hasil ketika Sukan SEA 2022 di Hanoi.
"Perasaan saya bercampur antara lega dan terharu kerana akhirnya berjaya melengkapkan norma terakhir di tanah air sendiri.
"Momen ini amat istimewa dan saya berharap ia mampu menjadi pencetus semangat buat lebih ramai pemain catur tempatan untuk terus melangkah jauh dalam arena ini," ujar Li Tian.

INFO
- GM merupakan gelaran rasmi tertinggi dalam dunia catur.
- Diberikan seumur hidup (tidak luput).
- Untuk mendapat gelaran ini, pemain perlu mencapai rating FIDE sekurang-kurangnya 2500 pada bila-bila masa dalam karier mereka.
- Mereka juga perlu meraih sekurang-kurangnya tiga norma GM, iaitu pencapaian luar biasa dalam kejohanan bertaraf tinggi (biasanya menentang pemain bertaraf antarabangsa).
- Gelaran ini sangat berprestij dan hanya dimiliki oleh segelintir pemain catur profesional di dunia.