polimas2
polimas2

Belum dapat diploma, dua pelajar POLIMAS sudah berjaya dapat tawaran kerja, tahniah!

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Jan 2022 04:31pm
A
A
A

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itulah yang berlaku kepada dua orang pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, (POLIMAS) Jitra, Kedah yang berjaya mendapat tawaran pekerjaan meskipun belum lagi mendapat diploma dalam bidang pengajian masing-masing.

Pelajar berkenaan ialah Siti Nur Shuhada Darus dan Muhammad Faiz Shamsuddin yang mengikuti program pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, POLIMAS.

Mereka telah menjalani latihan industri selama 20 minggu di CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd bertempat di Prai Industrial Zone, Pulau Pinang.

Prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan industri berjaya menarik minat majikan untuk mengambil mereka bekerja di syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd, Siti Padillah Abdul Wahab berkata, pihak syarikat berpuas hati dengan kualiti dan kemahiran kerja yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar POLIMAS yang telah mengikuti latihan industri di syarikat berkenaan.

"Hasilnya kami telah menawarkan dua orang pelajar dari POLIMAS untuk terus bekerja dengan kami setelah menamatkan latihan industri sebagai memenuhi syarat melayakkan dianugerah diploma oleh POLIMAS.

"Pihak syarikat amat memerlukan tenaga mahir seperti pelajar POLIMAS ini bagi memperkembangkan hasil pengeluaran syarikat untuk memenuhi kehendak pelanggan," katanya dalam Majlis Jamuan Tahunan 2021 syarikat yang telah diadakan di Seberang Perai, Pulau Pinang, baru-baru ini.

CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd telah menjadi Rakan Industri Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), POLIMAS sejak 2019 dan telah menjalankan beberapa aktiviti kolaboratif bersama JKE, POLIMAS.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik POLIMAS, Ismail Hashim berkata, beliau amat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar POLIMAS dalam menjalani latihan industri di syarikat itu terutama apabila dua orang pelajar terus ditawarkan pekerjaan.

"Ini menunjukkan pihak industri mengiktiraf pelajar-pelajar lulusan POLIMAS kerana mereka boleh bekerja, mempunyai kemahiran tinggi dan mempunyai kualiti kerja yang baik," ujarnya.

Siti Nur Shuhada turut meluahkan rasa syukur ke hadrat ALLAH dan tidak menyangka akan terus ditawarkan bekerja dengan syarikat berkenaan sebaik saja tamat menjalani latihan industri.

"Insya-ALLAH saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk menghasilkan keuntungan kepada syarikat," kongsinya.

Muhammad Faiz pula berkata, dia sangat terkejut dan tidak menyangka pihak syarikat terus menawarkan pekerjaan kepadanya.

“Menjalani latihan industri di syarikat ini amat menyeronokkan dan sesuai dengan bidang yang saya pelajari di POLIMAS dan saya tidak mensia-siakan peluang ini dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk syarikat," tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok