Untitled design (85)
Untitled design (85)

Belum reda dengan duit bantuan disamun, ibu pelajar dedah terima wang tidak cukup

Azleenda Sahaludin
20 Jan 2023 05:53pm
A
A
A

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan pelajar yang perlu ditanggung ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun.

Bantuan wang berjumlah RM150 itu mula diagihkan seawal 12 Januari lalu ke akaun sekolah dan seterusnya diserahkan kepada pelajar melalui pihak sekolah.

Masih belum reda insiden kehilangan wang BAP berjumlah lebih RM100,000 akibat disamun baru-baru ini, timbul pula isu lain yang berkaitan dengan proses pengagihan wang berkenaan.

Berdasarkan satu video tular di TikTok, seorang ibu mendakwa guru di sekolah anaknya tidak jujur ketika menyerahkan wang tersebut apabila dia hanya menerima RM100 meskipun wang yang diperuntukan oleh kerajaan adalah RM150.

Video berdurasi hampir tiga minit itu memperlihatkan ibu pelajar tersebut menjelaskan keadaan yang berlaku apabila dia menyedari wang diterima tidak mencukupi semasa hadir untuk menuntut BPA bagi ketiga-tiga anaknya yang belajar di sekolah sama.

“Mulanya, saya ke kelas anak Darjah Lima dan menerima wang yang cukup namun apabila saya ke kelas kedua untuk anak saya di Darjah Dua seorang guru lelaki hanya memberi RM100 sahaja kepada saya.

“Saya berasa hairan dan terus bertanya kepada guru berkenaan tentang jumlah sebenar yang sepatutnya tetapi dia (guru tersebut) mengatakan memang benar jumlahnya RM100,” ujarnya.

Lebih memeranjatkan, guru kelas anaknya yang berada di Darjah Enam juga terkejut menerima aduan daripada ibu tersebut selepas bertanya bagi mendapatkan kepastian.

Ibu pelajar itu memberitahu, dia telah menerima baki wang daripada guru lelaki berkenaan dan berkongsi insiden terbabit dalam kumpulan Whatsapp ibu bapa.

Lain pula yang jadi apabila ramai juga mengadu serta menyuarakan isu sama dengan menyatakan guru lelaki itu seakan ingin mengambil wang tersebut.

Susulan pertikaian itu, melalui kumpulan Whatsapp yang sama seorang guru telah meminta ibu bapa yang menerima BAP RM100 untuk hadir semula ke sekolah bagi menuntut baki RM50.

Artikel berkaitan

Ibu bapa dan penjaga, ini panduan mengambil wang

Bantuan Awal Persekolahan RM150 di sekolahBantuan Awal Persekolahan 12 Januari depan, ini yang perlu ibu bapa tahu

KPM janji tambah baik proses pemberian wang bantuan ke sekolah

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok