Kredit foto: Facebook Noor Arfa Batik Terengganu
Kredit foto: Facebook Noor Arfa Batik Terengganu

Berbaju batik ke sekolah, ini reaksi guru-guru Malaysia

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Aug 2023 12:14pm
A
A
A

“Alhamdulillah, kita hari-hari pakai baju batik ke sekolah. Memang selesa dan bersemangat untuk mengajar.”

“Batik Sarawak cantik-cantik sekarang.”

“Ok jugak boleh pakai hari-hari sebab baju batik je sedap pakai kain sejuk.”

“Sejak pegang jawatan memang rutin saya pakai batik sutera setiap hari ke tempat kerja, selesa.”

“Di Kedah memang sudah lama kami pakai.”

“Kita pakai baju batik sokmo.”

“Hari Isnin formal bertali leher, hari Selasa baju korporat, hari Rabu unit beruniform, hari Khamis wajib batik Malaysia dan hari Jumaat berbaju Melayu bersampin lengkap.”

Demikian reaksi sebahagian guru-guru di negara ini apabila mengulas tentang kelonggaran memakai pakaian batik pada setiap hari bekerja dan tidak hanya pada hari Khamis seperti sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Kelonggaran itu adalah untuk memberi keselesaan kepada penjawat awam dengan tugasan seharian di samping perubahan suhu premis yang telah ditetapkan.

Sementara itu, berita yang diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Selasa adalah selaras dengan usaha kerajaan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan menyokong inisiatif kecekapan tenaga sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia.

“Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya semua penjawat awam diberi kebenaran memakai pakaian batik pada waktu bekerja tidak hanya pada Khamis seperti sebelum ini.

“Malah, saya sudah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Ogos lalu,” ujarnya.

Sebelum itu, surat edaran ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain, digalakkan.

Peraturan itu yang berkuat kuasa 21 Ogos 2023 telah dinyatakan dalam surat edaran 'Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan' pada Isnin.

Menurut surat edaran tersebut, ketetapan pemakaian batik dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.

“Pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam telah dilaksanakan sejak 1985.

“Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik di negara ini dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain,” demikian menurut surat edaran berkenaan.

Menerusi surat edaran terbaharu ini, maka Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, dibatalkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok