Reaksi orang ramai tentang UPSR
Masyarakat mula memberi pandangan apabila isu mengenai peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dibangkitkan.
Majoriti berpendapat, UPSR perlu dikembalikan semula agar proses pembelajaran anak-anak peringkat sekolah rendah ada hala tujunya.
Terbaharu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad meluahkan kekesalan dengan perkembangan UPSR.
Katanya, konsep UPSR semakin 'menyeleweng' dek kefahaman yang salah tentang tujuan peperiksaan itu.
“Sebab dah semakin jauh 'menyeleweng' dan 'mengila' untuk dapat semua A dalam UPSR, hingga anak-anak jadi stres dan terbeban, akhirnya UPSR dimansuhkan,” ujarnya seperti dikongsi di Facebook.
Menjengah ke ruangan komen di laman media sosial, Sinar Bestari mendapati orang ramai mula memberi pelbagai reaksi tentang UPSR ini.
“Saya sokong adakan semula peperiksaan secara berpusat di peringkat sekolah rendah terutama kepada murid Tahun Enam, dengan syarat tiada perbandingan keputusan di antara sekolah, daerah dan negeri oleh pihak atasan.”
“Sokong UPSR di wujudkan kembali biar kita tahu menilai prestasi murid.”
“Ramai pensyarah hari ini yang berjaya jadi pensyarah kerana zaman mereka dari sekolah rendah hingga menengah adalah zaman kena hadap pelbagai jenis peperiksaan. Dari sistem peperiksaan zaman sekolah dulu, mereka terpaksa cabar diri untuk berusaha agar peroleh kecemerlangan dalam setiap peperiksaan. Malah hingga zaman universiti pun, kecemerlangan mereka diukur sebahagianya daripada peperiksaan. Jadi, janganlah berpandangan peperiksaan tidak penting.”
“Buang masa dan tenaga. UPSR tak releven. SK buat ujian berpandu set soalan kementerian. Keputusannya jadi rujukan SMK untuk tentukan tingkatan. Mana-mana murid cemerlang nak ke SBP atau MRSM saja ambil ujian khas. Tak perlu libatkan semua.”
“Dah ramai yang bersuara tapi tiada juga perubahan."
“Dulu dah elok ada kepelbagaian peperiksaan, UPSR hingga STPM termasuk rantingan sains, sastera, teknik, vokasional, sains pertanian dan akaun. Tapi memang dah jadi adat apabila pertukaran pak menteri, setiap orang nak buat perubahan hinggakan dasar pendidikan negara sekarang menjadi dalca.”
“Saya sokong ada UPSR. Sekurang-kurangnya guru Tingkatan Satu mendapat pelajar yang berkualiti. Tidak ada language barrier, senang dan mudah untuk memproses maklumat dalam subjek Sejarah, Sains, Matematik, Geografi dan lain-lain."
Itu kata begitu, ini kata begini.
Diharapkan segala pendapat dan pandangan orang ramai mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak berkaitan.
Hanya doa mampu mengiringi agar dunia pendidikan kita ‘baik-baik’ sahaja"