Pelajar menggayakan pakaian mengikut tema sewaktu Hari Kantin Sinar Bestari pada tahun lalu.
Pelajar menggayakan pakaian mengikut tema sewaktu Hari Kantin Sinar Bestari pada tahun lalu.

Berniaga gaya pelajar

Kelas terbuka untuk pelajar kuasai kemahiran insaniah, komunikasi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Jun 2025 05:15pm

Hari Kantin Sinar Bestari yang bakal dianjurkan sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 menjanjikan pengalaman unik kepada pelajar dalam meneroka dunia sebenar perniagaan.

Dengan sokongan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), inisiatif ini memberi ruang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah menjayakan aktiviti jual beli dalam suasana yang menyeronokkan tetapi mencabar.

Lebih menarik, pelajar berpeluang mengendalikan sendiri gerai makanan, hasil kraftangan, permainan interaktif dan barangan kreatif.

Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak berkata, cabaran yang bakal dihadapi peserta bermula daripada perancangan konsep, penjenamaan, pengurusan kewangan sehinggalah strategi pemasaran kepada pengunjung yang hadir.

Menurutnya, objektif utama Hari Kantin Sinar Bestari untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar selain membentuk kemahiran insaniah yang penting dalam kehidupan seharian.

“Kami mahu peserta belajar daripada pengalaman sebenar. Mereka akan berdepan pelanggan, perlu berkomunikasi dengan yakin, mengurus wang tunai, menyusun tugas sesama rakan dan menyelesaikan masalah secara spontan. Ini bukan sekadar berniaga tetapi ia latihan kepimpinan,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk makluman, Hari Kantin Sinar Bestari juga menjadi antara komponen penting dalam usaha memeriahkan karnival yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Julai ini di Dataran Karangkraf di sini.

Antara aktiviti lain yang turut disediakan termasuk rumah hantu, Pasar Saloma, go-kart, fun fair, perarakan malam, pertandingan melukis dan mewarna, busking, Sinar Run serta persembahan dikir barat, tarian, koir, bicara berirama dan banyak lagi yang melibatkan penyertaan pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Mewakili keluarga besar Karangkraf, kami mempelawa penyertaan daripada sekolah yang berminat membuka gerai sempena Hari Kantin Sinar Bestari.

“Ruang penyertaan adalah terhad dan akan dinilai berdasarkan kreativiti serta impak konsep gerai yang dicadangkan. Jadi kepada sekolah khasnya pelajar, jangan lepaskan peluang keemasan ini,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp