Biasiswa MyBrainSc dibuka hingga 30 April ini, calon yang layak disaran buat permohonan segera!
Permohonan Biasiswa MyBrainSc Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2023 kini dibuka kepada calon yang sedang atau akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama dan Pasca Ijazah sepenuh masa dalam bidang Sains Tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.
KPT menerusi pemakluman di laman Facebooknya berkata, permohonan tersebut dibuka secara dalam talian melalui laman sesawang https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrainSc/ dan boleh dimohon sehingga 30 April ini.
Biasiswa MyBrainSc KPT merupakan salah satu agenda KPT dalam mencapai matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu menghasilkan saintis-saintis muda yang berani menyahut cabaran sekali gus menghasilkan cendekiawan bertaraf dunia yang akhirnya diiktiraf sebagai Nobel Laureate.
Terdapat empat objektif mengapa Biasiswa MyBrainSc KPT ini diperkenalkan.
Objektif tersebut adalah melahirkan tenaga pengajar dalam bidang sains tulen yang mencukupi bagi menampung keperluan Universiti Awam; menggalakkan pelajar cemerlang menceburi bidang sains tulen bagi melahirkan masyarakat inovatif dan berkepakaran tinggi; melahirkan saintis negara bertaraf dunia dan layak menerima pengiktirafan tertinggi seperti Nobel Laureate serta menjadikan negara sebagai hub kecemerlangan pendidikan di pentas dunia seterusnya mencapai status pendidikan bertaraf dunia.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal turut berkongsi mengenai MyBrainSc di Dewan Negara pada Khamis.
Beliau berkata, MyBrainSc telah dilaksanakan pada 2012 dengan penajaan di peringkat Ijazah Pertama hingga Pasca Ijazah dalam bidang sains tulen sahaja dan program itu masih dilaksanakan hingga kini.
Selain MyBrainSc, KPT juga melaksanakan program MyBrain 15.
“Bagaimanapun, penawaran bagi MyBrain 15 telah berakhir pada 2016.
“Justeru, KPT akan mengemukakan permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi meneruskan semula MyBrain 15 tersebut,” ujarnya.