Sembilan sekolah menyertai Pertandingan Nasyid Sekolah Rendah sempena Karangkraf Ramadan Bookfest di Studio F Karangkraf pada Khamis. FOTO: ASRIL ASWANDI MOHD SYUKUR
Sembilan sekolah menyertai Pertandingan Nasyid Sekolah Rendah sempena Karangkraf Ramadan Bookfest di Studio F Karangkraf pada Khamis. FOTO: ASRIL ASWANDI MOHD SYUKUR

Bintang nasyid menyinar dalam Pertandingan Nasyid Sekolah Rendah Karangkraf Ramadan Bookfest

05 Feb 2026 04:55pm

Penganjuran Pertandingan Nasyid Sekolah Rendah sempena Karangkraf Ramadan Bookfest diharap menjadi medan bintang nasyid menyinar, selain menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat awal murid sebelum melangkah ke pertandingan lain pada masa akan datang.

Program julung kali anjuran Grup Buku Karangkraf dengan kerjasama Sinar Bestari itu bukan sahaja memeriahkan Karangkraf Ramadan Bookfest, malah membuka ruang kepada murid sekolah rendah mengasah bakat seni suara sejak di peringkat awal.

Eksekuti Pemasaran Buku Karangkraf, Muhamad Asyraf Jalaluddin berkata, selain mengeratkan kerjasama dengan sekolah, pertandingan itu turut bertujuan cungkil bakat nasyid dalam kalangan murid-murid sejak di peringkat awal persekolahan.

"Alhamdulillah, pertandingan yang berlangsung meriah itu disertai sembilan sekolah sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya, manakala penyertaan paling jauh adalah dari Beranang.

"Selain menyediakan bahan bacaan seperti buku novel dan sebagainya, kami juga ada buat pertandingan untuk eratkan lagi hubungan dengan pihak sekolah," katanya ketika ditemui selepas pertandingan yang diadakan di Studio F, Karangkraf pada Khamis.

Terdahulu, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Abu Bakar Baginda mengungguli pertandingan nasyid apabila meraih gelaran Johan, diikuti Naib Johan dimenangi SK Sri Kelana dan Tempat Ketiga menjadi milik SK Bandar Tun Hussein Onn.

SK Bandar Tasik Kesuma, SK Bandar Sri Damansara 3, SK Puchong Perdana, SK Seksyen 1 Bandar Kinrara, SK Tun Hussein Onn dan SK Bandar Anggerik membawa pulang hadiah sagu hati.

Bagi Anugerah Khas Solo Terbaik pula diperolehi SK Tun Hussein Onn, manakala Anugerah Khas Lagu Terbaik dirangkul oleh SK Dato' Abu Bakar Baginda.

Menurutnya, kebiasaannya tiada pertandingan nasyid diadakan pada bulan Ramadan dan hanya selepas Aidilfitri barulah pertandingan lain berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Muhamad Asyraf memberitahu, program berkenaan dilihat sebagai platform terbaik untuk murid membuat persediaan awal sebelum menyertai pertandingan lain.

Menariknya, kongsi beliau, terdapat peserta seawal tujuh tahun yang berani tampil beraksi di pentas, sekali gus membuktikan potensi bakat nasyid boleh digilap sejak usia muda.

Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah mendorong penganjur merancang untuk meneruskan penganjuran pertandingan tersebut pada masa akan datang. - Sinar Harian 

 

 

Ringkasan AI

  • Pertandingan Nasyid Sekolah Rendah diadakan sempena Karangkraf Ramadan Bookfest untuk mengasah bakat nasyid murid sekolah rendah
  • Anjuran pertama oleh Grup Buku Karangkraf bersama Sinar Bestari, bertujuan memeriahkan festival dan mengasah bakat seni suara
  • Sembilan sekolah sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya menyertai, dengan penyertaan paling jauh dari Beranang
  • Sekolah Kebangsaan Dato Abu Bakar Baginda memenangi gelaran Johan dengan SK Sri Kelana dan SK Bandar Tun Hussein Onn mengikuti di tempat kedua dan ketiga
  • Peserta termuda berusia tujuh tahun, membuktikan bakat nasyid boleh digilap sejak usia muda
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp