Boleh menampung kira-kira 1,000 pelajar, Pusat Pendidikan Al-Itqan dijangka siap 2023
Boleh menampung kira-kira 1,000 pelajar, Pusat Pendidikan Al-Itqan dijangka siap 2023

Boleh menampung kira-kira 1,000 pelajar, Pusat Pendidikan Al-Itqan dijangka siap 2023

Azliyana Sulaiman
25 Apr 2021 03:29am
A
A
A

BALIK PULAU - Pusat Pendidikan Al-Itqan di Teluk Kumbar dekat sini dijadualkan siap pada 2023 dan akan memulakan pengambilannya pada tahun yang sama, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, pusat pendidikan itu yang terdiri daripada empat blok bangunan lima tingkat, akan dibina di tapak seluas tiga ekar (1.2 hektar).

Pusat Pendidikan Al-Itqan akan terdiri daripada 51 bilik darjah yang dapat menampung kira-kira 1,000 pelajar dan kemudahan seperti empat buah makmal, empat buah bilik mesyuarat, tiga dewan serbaguna selain dua ruang solat.

"Pusat Pendidikan Al-Itqan yang dicadangkan ini dianggarkan melibatkan kos pembinaan hingga RM15 juta dan Ideal Property Group, pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang, akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan," katanya dalam ucapannya pada upacara pecah tanah projek itu.

Bercakap pada sidang media kemudiannya, beliau berkata projek tersebut tertangguh sejak beberapa tahun lepas disebabkan proses perancangan dan kelulusan.

Beliau berkata, pusat pendidikan yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada proses pematuhan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan majlis tempatan untuk pemaju yang melaksanakan projek perumahan mampu milik di Bukit Gelugor.

"Oleh kerana sudah ada sekolah yang mencukupi berhampiran tapak projek (perumahan mampu milik), kami mengambil kesempatan untuk membantu Pusat Pendidikan Al-Itqan untuk merealisasikan hasrat mereka untuk membina blok bangunan itu," kata beliau.

Beberapa sekolah telah dibina di bawah dasar pematuhan itu sejak 10 tahun lepas, katanya - BERNAMA

Artikel menarik

Bentang aplikasi mudah alih 'Go English Writing' di Turki, dua guru KV Keningau bukti kemampuan diri

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok