Zambry
Zambry

Cadang 7 tonggak kerjasama dalam bidang AI & teknologi masa hadapan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 May 2025 10:23am

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali ke-2 di Tehran, Iran.

Mesyuarat yang berlangsung pada 18 hingga 19 Mei itu telah dihadiri lebih 20 wakil negara anggota OIC yang komited untuk meneroka potensi teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu kemajuan bersama.

Zambry yang mewakili Malaysia dalam mesyuarat tersebut menyampaikan kenyataan negara yang menekankan keperluan dunia Islam mengambil pendekatan proaktif dalam membentuk hala tuju teknologi sejagat khususnya AI.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa sains dan teknologi telah menjadi asas ketamadunan Islam dan kini adalah tanggungjawab bersama negara-negara OIC-15 untuk memulihkan semula kepimpinan ini melalui pendekatan yang holistik, beretika dan berteraskan nilai Islam.

Sebagai sumbangan konkrit Malaysia kepada kerangka tindakan OIC-15, Zambry telah mencadangkan tujuh tonggak utama untuk pertimbangan bersama.

Tujuh cadangan itu adalah reka bentuk kurikulum bersama dalam bidang AI, etika data dan kemanusiaan digital; penubuhan hab penyelidikan dan inovasi rentas negara; gerakan celik AI yang inklusif di seluruh negara anggota dan penubuhan Dana Solidariti Digital OIC-15 Indeks serta Kesiapsiagaan Digital OIC.

Seterusnya pembentukan Konsortium Keselamatan Siber OIC; penubuhan Unit Foresight OIC-15 bagi merancang masa depan teknologi Islam dan dana Inovasi Krisis untuk menyokong komuniti terkesan seperti Gaza.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Zambry berkata, Malaysia turut menawarkan kerjasama dalam bentuk biasiswa, program mobiliti dan AI Fellowship bagi menyokong pembangunan bakat bersama negara anggota OIC-15.

"Sains dan teknologi telah menjadi asas ketamadunan Islam dan kini adalah tanggungjawab bersama negara-negara OIC-15 untuk memulihkan semula kepimpinan ini melalui pendekatan yang holistik, beretika dan berteraskan nilai Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Zambry turut mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bersama para menteri dan wakil negara OIC yang lain.

Dalam masa sama, beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Hossein Simayi Saraf bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang tenaga mahir, sains dan teknologi antara Malaysia dan Iran.

Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali ke-3 dijadualkan akan berlangsung di Arab Saudi sebagai kesinambungan kepada usaha kolektif memperkasa ummah dalam era Revolusi Industri Keempat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp