Awang (kanan) menerima Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China, bersempena dengan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China 2024 anjuran USM yang disampaikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Datuk Norimah Abdul Samad pada Ahad.
Awang (kanan) menerima Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China, bersempena dengan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China 2024 anjuran USM yang disampaikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Datuk Norimah Abdul Samad pada Ahad.

Cadang wujud universiti Malaysia di China

IZWAN ROZLINIZWAN ROZLIN
14 May 2024 11:11am
A
A
A

Malaysia seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah cawangan universiti di China dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan bidang kepakaran lain di rantau ini.

Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, ini kerana 17 buah universiti dan kolej di China kini menawarkan ijazah, diploma dan kursus bagi bahasa Melayu.

Penyandang dua kali Kursus Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing itu berkata, kerajaan seharusnya mengambil peluang terhadap perkembangan mengagumkan itu yang berlaku dalam tempoh 16 tahun sejak 2008.

“Kalau di Nilai, Negeri Sembilan kita ada cawangan Universiti Xiamen, kita juga perlu ada cawangan universiti kita di China,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China, bersempena dengan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China 2024, anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ahad.

Bekas Pengerusi Lembaga Pengelola dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) harus mengambil kesempatan ini dengan menghantar tenaga untuk mengajar bahasa Melayu dan bidang lain serta membuat penyelidikan.

“Dari segi ekonomi dan hubungan dua buah negara kita dapat meneruskan hubungan menang-menang Malaysia-China selain bahasa Melayu akan terus digunakan secara meluas sebagai bahasa perdagangan dan kewangan,” katanya.

Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China.
Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China.

Artikel Berkaitan:

Selain itu geran penyelidikan kerajaan bagi mengkaji perbandingan tamadun China dan Melayu harus diperkasakan lagi bagi mendalami hubungan sejarah dua negara itu.

“Hasil penyelidikan sebelum ini berjaya merungkai persamaan pantun Melayu dengan lagu rakyat China, peribahasa kedua-dua tamadun, persamaan wayang kulit, motif batik dan persamaan sejumlah habis Nabi dengan falsafah Konfusius. Malah penjual di pusat beli-belah di China banyak yang sudah pandai berbahasa Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China yang diterimanya, Awang berkata, ia memberikan semangat untuk terus mengembangkan bahasa dan tamadun Melayu di peringkat dunia.

“Sekarang ini saya masih menerima undangan seminar, forum dan persidangan di China dan terkini saya telah menyampaikan 30 syarahan dan kertas kerja tentang hubungan tamadun Melayu - China baik di negara itu mahupun di Malaysia," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok