Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) UTM, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif UTM USSB, Dr Mercy Trinovianti Mulyadi (dua dari kanan) dengan Mohd Hamzavi (dua dari kiri).
Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) UTM, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif UTM USSB, Dr Mercy Trinovianti Mulyadi (dua dari kanan) dengan Mohd Hamzavi (dua dari kiri).

Caliph Academy jalin kerjasama dengan UTM Space

12 Aug 2024 09:54pm

Dalam usaha menginspirasikan generasi muda menceburi bidang takaful sebagai kerjaya pilihan, Caliph Academy telah mengambil langkah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UTM Space Sdn Bhd (USSB), baru-baru ini.

Pengarah Caliph Life Sdn Bhd, Mohd Hamzavi Md Zain berkata, menerusi MoU tersebut, ia membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta memberikan akses lebih baik kepada sumber persekitaran pendidikan berkualiti tinggi.

"Bagi USSB, ini peluang untuk memperluaskan penawaran pendidikan melalui kerjasama dengan Caliph Academy dalam membantu mempelbagaikan dan meningkatkan portfolio kursus akademik terutama dalam bidang takaful.

"Di pihak Caliph Academy pula, akses kepada sumber dan kepakaran USSB boleh membantu dalam pembangunan dan akreditasi kursus dan memastikan kursus-kursus tersebut memenuhi piawaian tinggi serta diiktiraf pihak berkuasa berkaitan seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya selepas majlis MoU di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohd Hamzavi berkata, Caliph Academy mempunyai pengetahuan dan pengalaman khusus dalam bidang takaful.

Ujarnya, dengan kepakaran berkenaan, ia membolehkan mereka merangka mesej pemasaran yang berkesan kepada prospek, memastikan keunikan dan manfaat kursus-kursus disampaikan dengan baik.

Tambahnya lagi, dengan hubungan yang kukuh dalam industri takaful, Caliph Academy boleh memanfaatkan hubungan itu untuk meningkatkan usaha pemasaran dan mendapatkan pelajar yang berminat dalam bidang tersebut.

"Caliph Academy boleh memperuntukkan sumber dan tenaga kerja khusus untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemasaran kursus-kursus khusus dan memastikan usaha yang lebih berfokus serta konsisten.

"Ia mampu menjadi asas dalam pembentukan kerjasama lain di masa hadapan yang boleh diputuskan berdasarkan kepentingan dan matlamat bersama.

"Fleksibiliti ini membolehkan kedua-dua institusi meneroka dan menyesuaikan diri dengan peluang baru yang timbul," jelasnya

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp