Norman (tengah) bersama sebahagian graduan BFSU yang diraikan di Beijing baru-baru ini.
Norman (tengah) bersama sebahagian graduan BFSU yang diraikan di Beijing baru-baru ini.

China martabat Bahasa Melayu

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Jul 2024 03:58pm
A
A
A

Majlis konvokesyen Beijing Foreign Studies University (BFSU) di Beijing, China Jumaat lalu, menjadi istimewa apabila Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China, Datuk Norman Muhamad diberi penghormatan untuk berucap dalam Bahasa Melayu.

Dalam ucapan didengari hampir 3,000 graduan yang diraikan, Norman berkata, sebanyak 17 buah institusi pengajian tinggi di seluruh China menawarkan pembelajaran Bahasa Melayu sehingga hari ini.

“Terima kasih kepada China atas keyakinan terhadap sistem pendidikan negara sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan menyambung pengajian.

“Semua ini pastinya sukar dilaksanakan tanpa BFSU, selaku pengasas yang sentiasa memberikan sokongan berterusan kepada rakan-rakan universiti lain.

“Mengenang jasa BFSU yang telah tersemai sekian lama, maka ia mendorong kehadiran saya berada di sini bagi menzahirkan ucapan terima kasih Malaysia kepada BFSU,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis konvokesyen itu adalah Timbalan Ketua Perwakilan Beijing, Norfarina Mohd Azmee dan Pengarah Pejabat Education Malaysia Beijing, Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif.

Terdahulu, BFSU telah mengasaskan program Pengajian Bahasa Melayu di China sejak tahun 1961 dan penempatan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China telah bermula sejak 2007.

Norman
Norman

Sehubungan itu, Malaysia telah mengiktiraf BFSU sebagai Pangkalan Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Norman turut menggalakkan program pertukaran pelajar menerusi edutourism atau pelancongan pendidikan dipergiatkan sebagai inisiatif yang baik dan menyokong usaha kedua negara dalam menggalakkan pertukaran belia.

Malah, beliau turut menekankan bahawa bahasa dan budaya bukan sahaja perlu dipelajari secara teori tetapi perlu didalami serta dihayati menerusi pengalaman.

“Dunia ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu global, maka pegangan prinsip Excellence with a Soul amat penting dalam membina daya tahan negara dan serantau serta pembentukan dasar yang mampan.

“Mahasiswa bukan hanya bersandar pada kecemerlangan akademik semata-mata sebaliknya perlu diimbangi dengan aspek sahsiah dan semangat untuk bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

"Serta berkongsi kepakaran demi menjadikan dunia lebih baik selari konsep Community of the Shared Future yang digagaskan Presiden China, Xi Jinping,” ujarnya.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok