Cikgu Ahmad Azharulzaman terkejut! Tak sangka inovasi ‘Mr POS Family’ terpilih untuk pembentangan di Azerbaijan
“Beliau memang layak." Itulah sebahagian komen warga maya mengenai ‘tuah’ Cikgu Ahmad Azharulzaman Ibrahim.
Merupakan guru bahasa Inggeris di Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Cikgu Ahmad Azharulzaman telah mengharumkan nama negara apabila terpilih untuk membentangkan inovasinya dalam pembelajaran bahasa Inggeris secara langsung di International Hazar Scientific Research Conference, 7 Januari lalu.
Persidangan yang diadakan secara dalam talian itu adalah anjuran Khazar University di Baku, Azerbaijan dan rakaman pembentangannya boleh ditonton melalui pautan berikut:
Ketika dihubungi Sinar Bestari, Cikgu Ahmad Azharulzaman berkata, dia sendiri terkejut apabila menerima undangan untuk membentangkan inovasi tersebut.
“Saya anggap ini adalah rezeki yang cukup bermakna walaupun baru sahaja enam tahun bergelar pendidik.
“Insya-ALLAH, jika diberi peluang lagi, saya akan terus berinovasi dan membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Inovasi Mr POS Family merupakan satu permainan berpapan yang bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar berkenaan dengan kategori kata bahasa Inggeris seperti kata nama dan kata kerja.
Selain itu, ia juga direka untuk membantu para pelajar menguasai teknik menyusun perkataan dengan betul.
Permainan berpapan ini terdiri daripada dadu, papan permainan, kad soalan dan nota panduan.
Cikgu Ahmad Azharulzaman pernah membentang projek ini pada 2020 di Indonesia secara dalam talian dan seterusnya menjuarai sebuah pertandingan inovasi di Malaysia dalam kategori pendidikan pada 2021.
Dalam pada itu, pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, dirinya sentiasa menggalakkan para guru untuk meningkatkan kemahiran mereka secara profesional melalui aktiviti-aktiviti sebegini.
PROFIL
Nama: Cikgu Ahmad Azharulzaman Ibrahim
Umur: 33 tahun
Adik-beradik: Anak keempat daripada lima adik beradik
Tahap pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan kepujian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Anugerah dan pencapaian:
1) Pingat gangsa di Karnival Mai Tah Bainovasi Labuan peringkat kebangsaan 2019.
2) Pingat perak di eSpedip peringkat kebangsaan 2021.
3) Pingat emas di Borneo eInnovation Competition peringkat kebangsaan 2021.
4) Pembentangan secara dalam talian di Konferens The 6th ELTT 2020 di Indonesia.
5) Pembentangan secara dalam talian di International Hazar Scientistific Research Conference di Azerbaijan 2022.
Idola: Guru Bahasa Inggeris, Cikgu Mohd Shah Misdi ketika belajar di SMT Sepang (KV Sepang).
Kata-kata semangat yang dipegang sehingga kini:
“Sampaikan walau satu ayat…” semua orang boleh mengajar, tapi tak semua boleh mendidik. Kerana itulah, saya memilih menjadi pendidik disebabkan mahu berbakti kepada komuniti dan seterusnya mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berjaya.
Artikel berkaitan
Bahasa Arab perlu diletakkan di tempat yang sewajarnya
Susah hafal sifir? Ini 6 cara mudah untuk murid lakukan, pasti puas hati!
Stres dalam kalangan guru dan pelajar. Ini cara yang perlu anda lakukan daripada terus tertekan!