New_Top-30-CJD-2021
New_Top-30-CJD-2021

Cikgu El Gamillo juara #CikguJuaraDigital 2021 MDEC, nekad bantu pendidik mahir guna teknologi digital

Roshlawaty Md Raieh
22 Jul 2021 05:10pm
A
A
A

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok, Marang, Terengganu, Cikgu El Gamillo Habibun Tan, 41, dinobatkan sebagai pemenang program #CikguJuaraDigital 2021 (#CDJ21) anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), baru-baru ini.

Menerusi kemenangan itu, Cikgu El Gamillo membawa pulang hadiah bernilai RM15,000 merangkumi peralatan dan kelengkapan pembelajaran untuk sekolahnya serta mendapat tempat dalam Program Pembangunan Profesional #CJD MDEC.

Anak kelahiran Muar, Johor ini merupakan guru bahasa Melayu dan Muzik serta telah berkecimpung dalam dunia pendidikan hampir 17 tahun lamanya.

“Terkejut dan tak sangka apabila diumumkan sebagai pemenang #CDJ21. Terima kasih kepada MDEC kerana menyedari usaha yang dilakukan oleh para guru.

“Dengan kemenangan ini, ia bagaikan satu peluang dan platform yang tepat untuk meningkatkan mutu golongan pendidik dalam menggunakan teknologi digital kerana kaedah penyampaian, pengajaran dan pembelajaran sangat penting ketika kita berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 sekarang ini,” katanya.

Cikgu El Gamillo

Cikgu El Gamillo merupakan Pakar Pendidik Inovatif Microsoft dan Guru Bertauliah Apple.

Beliau telah menghasilkan lebih 60 video di saluran You Tubenya mengenai topik-topik Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan tutorial yang merangkumi pelbagai kemahiran digital yang penting.

Malah, Cikgu El Gamillo mempunyai lebih daripada 5,000 pengikut di akaun media sosialnya dan juga laman web (www.cikguel.com) yang meneroka bidang teknologi dan pendidikan.

Terdahulu, #CDJ merupakan program di bawah #SayaDigital MDEC melalui inisiatif #mydigitalmaker bagi mencari guru yang berjaya bangkit untuk mengatasi halangan dan seterusnya merevolusikan pendidikan melalui teknologi di Malaysia.

Mula dilancarkan pada 2019, matlamat program untuk meningkatkan jumlah guru yang cekap secara digital menjadi Cikgu Juara Digital (Champion Digital Teacher) dan memberi inspirasi serta bimbingan kepada guru lain dalam komuniti masing-masing.

#CJD terbuka kepada semua guru di negara ini yang berminat untuk melakukan transformasi pendidikan.

Para peserta disyaratkan menjadi penyokong aktif inovasi digital dan kreativiti dan juga mesti menunjukkan penggunaan teknologi dan platform digital yang berkesan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Mereka juga mesti aktif dalam program yang berkaitan dengan teknologi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sementara itu, Cikgu El Gamillo menyeru rakan guru yang lain untuk memanfaatkan platform digital dan menjadi agen perubahan dan transformasi dalam pendidikan negara.

“Ini kerana manfaatnya sangat besar dan saya akan berusaha untuk memberi inspirasi kepada gelombang pendidik digital generasi seterusnya di Malaysia,” ujarnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Peningkatan penyertaan

Naib Presiden dan Ketua Kemahiran dan Pekerjaan Digital, MDEC, Dr Sumitra Nair berkata, #CJD tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan membabitkan peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang yang unik untuk dikongsi.

“Kesemua mereka merupakan pemimpin digital dengan cara yang tersendiri.

“ Ini berlaku hasil dorongan MDEC untuk membolehkan peluang digital yang adil, mengubah ke arah Malaysia 5.0 iaitu sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi yang memperkasakan inklusif, kelestarian dan kemakmuran bersama,” jelas beliau.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Program #CJD menyediakan program pengembangan profesional untuk pemohon terpilih yang meliputi kursus pensijilan berkaitan teknologi digital dan penyertaan di makmal pemecut dan bootcamp melalui perkongsian dengan pelbagai rakan teknologi.

Para guru #CJD juga akan ditawarkan latihan melibatkan pelbagai kemahiran. Mereka kemudian akan memanfaatkan dengan melaksanakan program penyebaran teknologi digital dalam pendidikan dan mengadakan sesi latihan untuk guru lain di daerah masing-masing.

Untuk info, pada 2019, seramai lima guru dipilih sebagai #CJD dan ditambah menjadi 21 guru pada tahun lepas.

Untuk edisi kali ini, lebih 180 permohonan diterima dengan 30 orang telah disenarai pendek yang menyaksikan Cikgu El Gamillo muncul juara.

Antara 30 peserta #CJD terbaik tahun ini ialah seorang guru berketurunan Kadazan Dusun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah, Cikgu Nadia Richard.

Cikgu Nadia merupakan guru subjek Fizik dan Sains di sekolah berkenaan dan berpengalaman selama 13 tahun dalam profesionnya.

Beliau sangat aktif dalam program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan juga merupakan tenaga pengajar utama untuk Pembelajaran Sains Secara Inkuiri (IBSE).

Saingan sengit

Sementara itu, Cikgu Selvarani Uthirakumaran, merupakan antara peserta yang memberi saingan sengit dalam #CDJ tahun ini dan turut mempertaruhkan kisah menarik untuk dikongsi.

Antaranya, pengalaman mengajar di sebuah Sekolah Kurang Murid (16 orang) iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Kruit, Sungkai, Perak yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh.

Walaupun anak-anak didiknya tidak ramai, namun Cikgu Selvarani tetap bersemangat untuk ‘mendigitalkan’ muridnya apabila menggunakan platform dalam talian dan kaedah digital untuk memastikan pengajarannya lebih menarik.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Beliau juga berpengalaman sebagai juri dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan seperti Cabaran Kreatif STEAM 2020, Weastronauts - Golden Educational PBL Project dan International Digital Innovation and Invention Challenge.

Peserta lain yang mempunyai latar belakang menarik yang menyertai #CJD ialah Yu Kok Hui, seorang guru di SMK Skudai, Johor.

Bersama dengan tujuh orang guru lain, Cikgu Kok Hui adalah Pengasas Pendidik Digital MY iaitu sebuah komuniti pengajaran yang menyokong teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Saluran YouTubenya mempunyai lebih dari 27,000 pengikut dan beliau juga merupakan duta 'wakelet and kahoot!' tahun lepas.

Seterusnya, cabaran geografi dan kekurangan akses digital sentiasa menjadi masalah utama bagi sekolah di kawasan terpencil.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Namun demikian, seorang guru yang bertugas di kawasan pedalaman, Muhammad Nur Firdaus Narawi tidak menjadikan ‘kekurangan’ berkenaan sebagai alasan untuk tidak menerapkan sentuhan digital dalam tugasnya.

Beliau mengajar di SK Penghulu Imban di Dalat, Sibu, Sarawak yang terletak kira - kira 80 km dari Sibu. Sekolah ini mempunyai murid kurang daripada 300 orang dengan hampir 99 peratus berasal dari rumah panjang berdekatan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Cikgu Muhammad Nur Firdaus telah mengembangkan pendidikan berasaskan laman web untuk mata pelajaran Sains bagi memberi nilai tambah dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sehingga kini, laman webnya telah dilayari lebih 15,000 orang yang berminat dengan kaedah yang dikongsikan olehnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok