Covid-19 adalah situasi tidak terjangka, cabaran baharu guru laksanakan kelas secara maya
Covid-19 adalah situasi tidak terjangka, cabaran baharu guru laksanakan kelas secara maya

Covid-19 adalah situasi tidak terjangka, cabaran baharu guru laksanakan kelas secara maya

webadmin
31 Jan 2021 05:27am
A
A
A

Covid-19 adalah situasi tidak terjangka, cabaran baharu guru laksanakan kelas secara maya

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini telah memberi kesan kepada semua sektor kehidupan termasuk Pendidikan. Pandemik Covid-19 dan PKP menyebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran terpaksa menempuh satu suasana atau norma yang baharu.

Warga pendidik terpaksa beralih daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian.

Perubahan kaedah PdPR dalam norma baharu ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan. Ia merupakan cabaran besar bagi seorang pendidik itu untuk memastikan pelajar atau muridnya tidak ketinggalan dalam pelajaran, khususnya bagi mereka yang bakal menghadapi peperiksaan.

Antara cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuh adalah, cabaran daripada guru itu sendiri, iaitu dari sudut persediaan dan kemahiran melaksanakan kelas secara maya melalui aplikasi tertentu.

Fenomena Covid-19 adalah pengalaman yang baru dan tidak terjangka, ia sudah tentu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan kaedah baharu dalam pengajaran ini. Apatah lagi bagi guru yang kurang mahir dengan penggunaan aplikasi secara maya.

Selain itu, masalah capaian akses internet berdasarkan lokaliti atau kawasan juga antara halangan utama. Bagi guru dan murid di bandar dan pinggir bandar mungkin capaian internet adalah baik.

Bagaimana pula bagi guru dan murid di luar bandar dan pedalaman, sudah tentu mereka mengalami kesukaran dan masalah dalam melaksanakan PdPR.

Cabaran lain yang terpaksa di lalui oleh murid atau pelajar adalah, tidak semua ibu bapa berkemampuan menyediakan kelengkapan belajar seperti laptop dan telefon mudah alih. Ini antara cabaran terbesar dalam memastikan PdPR dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.

Namun, apa yang menyedihkan, terdapat segelintir ibu bapa yang menyalahkan guru-guru dalam melaksanakan PdPR.

Ada ibu bapa yang beranggapan PdPR itu gagal dan guru itu sendiri sebenarnya tidak pandai dan tidak mengajar dengan baik. Tuduhan dan dakwaan tersebut adalah melampau dan tidak adil kepada para guru yang bertungkus lumus dan ikhlas dalam memastikan pelajar mereka dapat mengikuti pelajaran dengan sempurna.

Ibu bapa seharusnya realistik dengan situasi yang ada, bagi yang menuduh guru tidak mengajar dengan baik dan gagal dalam PdPR. Pernahkah terfikir, jika mereka berada dalam keadaan tersebut, apakah mereka dapat mengajar dengan baik dan berjaya sepenuhnya dalam PdPR?  

Sebenarnya guru di Malaysia secara umumnya begitu komited dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas dalam profesion keguruan mereka.

Ini dibuktikan dalam satu kajian atau bancian terhadap Pendidikan Global oleh Cambridge Assesment International Education. Bancian tersebut yang melibatkan survey terhadap 20,000 guru dan pelajar di seluruh dunia menunjukkan bahawa guru di Malaysia adalah antara paling berdedikasi di dunia dalam memastikan pelajar mencapai kecemerlangan. (https://www.cambridgeinternational.org).

Berdedikasi di sini termasuklah kesediaan dan kesiapsiagaan guru sepanjang masa dalam memberikan khidmat mereka dalam mengajar, membimbing dan mendidik murid dan pelajar mereka ke arah mencapai kecemerlangan.

Kepada para guru, anda semua adalah wira dan hero yang tidak didendang. Guru atau pendidik tidak meminta dan mengharap apa-apa. Yang diharapkan adalah sokongan dan dokongan masyarakat, penghargaan dan rasa terima kasih, sepanjang menjayakan misi mendidik anak bangsa.

Singkirkanlah sifat suka mencari kesalahan dan mengecam guru di sekolah yang berjuang siang dan malam mendidik anak bangsa.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok