Fadhlina
Fadhlina

Cuaca panas: Ibu bapa boleh buat aduan jika sekolah anjur aktiviti luar bilik darjah

17 Apr 2024 10:12am
A
A
A

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan mengenai sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan jika suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Bagaimanapun katanya, jika ibu bapa ingin membuat aduan rasmi mengenai sesetengah sekolah yang tetap mengadakan aktiviti luar bilik darjah ketika fenomena El Nino dan cuaca panas melebihi 35 darjah Celsius, mereka (ibu bapa) boleh mengemukakannya secara rasmi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Ujar Fadhlina, garis panduan KPM perlu diikuti dan dalam masa sama pihaknya merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

"Ia bertujuan mendapatkan pedoman berkaitan isu cuaca (El Nino) ini.

“Garis panduan itu memang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kem Generasi MADANI (GenMADANI) Pemimpin Pelajar SMKA 2024 peringkat Kebangsaan, bertempat di Seremban, Negeri Sembilan, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin.

Fadhlina (tengah) ketika hadir pada GenMADANI Pemimpin Pelajar SMKA 2024 peringkat Kebangsaan, pada Selasa.
Fadhlina (tengah) ketika hadir pada GenMADANI Pemimpin Pelajar SMKA 2024 peringkat Kebangsaan, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina mengulas mengenai rungutan ibu bapa yang mendakwa ada sekolah di Terengganu merancang untuk mengadakan aktiviti merentas desa pada minggu ini.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah mengingatkan semua sekolah supaya tidak mengadakan sebarang aktiviti luar bilik darjah pada musim panas.

Sementara itu, Fadhlina berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa berkaitan perkara berkenaan.

"Kita alu-alukan sebarang aduan dan akan menjalankan siasatan sama ada ia berasas atau sebaliknya," jelasnya.

Dalam pada itu, tegas Menteri Pendidikan ini lagi, KPM tidak mempunyai halangan untuk terus menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah jika fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini berterusan.

"Kementerian akan terus bekerjasama dengan KKM untuk memantau keadaan cuaca dan status kesihatan pelajar," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok