Harith Amrullah (kiri) dan Nik Ufaira (kanan) memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam semua mata pelajaran bagi UPKK 2023.
Harith Amrullah (kiri) dan Nik Ufaira (kanan) memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam semua mata pelajaran bagi UPKK 2023.

Berkat belajar bersama ibu bapa dorong murid raih 8A UPKK

18 Apr 2024 05:35pm
A
A
A

Berkat mengulang kaji pelajaran bersama ibu bapa, dua murid cemerlang Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban, Negeri Sembilan menzahirkan rasa syukur meraih A dalam lapan mata pelajaran bagi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023.

Berkongsi kejayaannya, Harith Amrullah Almuhaymin, 12, tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang itu berbanding mendapat 6A ketika peperiksaan percubaan.

"Saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan mahu banggakan keluarga. Alhamdullilah saya berjaya mendapat keputusan cemerlang.

"Selain belajar di sekolah, ibu bapa banyak membantu dan meluangkan masa belajar bersama-sama ketika di rumah, ayah selalu nasihatkan supaya lebih yakin pada diri sendiri," kata anak sulung daripada empat beradik yang berazam mahu belajar bersungguh-sungguh dan menjadi seorang doktor.

Nik Ufaira Nik Muhammad Hafiz yang turut meraih keputusan cemerlang 8A berkata, sokongan daripada ibunya membantu dia meraih keputusan terbaik.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ketegasan ustazah di sekolah juga mendorong dirinya menjadi lebih fokus dalam kelas.

"Terima kasih kepada ibu bapa, para ustaz dan ustazah di sekolah yang banyak membantu saya meraih keputusan cemerlang, saya tidak sangka dapat 8A sebab masa percubaan dapat 6A," katanya yang bercita-cita menjadi jurutera dan melanjutkan pelajaran di Korea Selatan suatu hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang hadir mengumumkan keputusan di sekolah berkenaan berkata, seramai 27 murid Sekolah SRI Seremban dan 13 murid sekolah SRI Seremban cawangan Nilai memperolehi 8A dalam UPKK.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dalam persediaan terbaik bagi menghadapi peperiksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, seramai 28,531 daripada 230,587 calon menduduki UPKK 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran terbabit ialah Al-Quran, Ulum Syariah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok