Murid-murid merupakan individu yang sangat terkesan dengan cuaca panas sepanjang sesi persekolahan. Kredit foto: Bernama
Murid-murid merupakan individu yang sangat terkesan dengan cuaca panas sepanjang sesi persekolahan. Kredit foto: Bernama

Cuaca panas: Mohon beri kelonggaran pelajar pakai baju sukan

ROSHLAWATY MD RAIEH
02 May 2023 11:25am
A
A
A

Situasi cuaca panas dan jerebu yang melanda di kebanyakan tempat mencabar kehidupan seharian masyarakat di negara ini.

Paling terkesan dengan fenomena tersebut adalah murid-murid dan pelajar-pelajar yang dikatakan agak terdedah dengan cuaca panas sepanjang sesi persekolahan.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad mencadangkan agar pelajar diberi kelonggaran untuk memakai baju-T sukan yang bersesuaian ketika mengikuti sesi pembelajaran di sekolah masing-masing.

Katanya, baju-T sukan yang dipakai pelajar dapat meningkatkan keselesaan mereka untuk menyerap peluh.

“Pemakaian tali leher dan pakaian seragam sekolah juga dilihat tidak sesuai pada ketika ini kerana ia akan merimaskan para pelajar sepanjang cuaca panas. Justeru, pemakaian baju-T sukan boleh dipertimbangkan sehingga keadaan kembali pulih,” ujarnya dalam sebuah portal tempatan baru-baru ini.

Selain itu, Anuar turut mencadangkan agar semua aktiviti kokurikulum dibatalkan buat sementara waktu bagi mengelak pelajar-pelajar terdedah kepada pancaran cahaya matahari terik untuk jangka masa yang panjang.

Sementara itu, Sinar Bestari turut menerima beberapa informasi penting daripada pihak sekolah berkenaan persediaan dalam menghadapi cuaca panas dan penularan Covid-19.

Terbaharu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun yang terletak di Seksyen 32, Shah Alam, Selangor telah memberi peringatan penting kepada para pelajar menerusi telegram rasmi pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Peringatan yang diberikan oleh pihak sekolah itu terdiri daripada empat perkara iaitu pelajar perlu membawa air minuman (air kosong) dari rumah bagi memastikan mendapat bekalan minuman yang mencukupi sepanjang cuaca yang panas dan memakai pelitup muka jika bergejala.

Selain itu, ia juga memberitahu, aktiviti luar bilik darjah (aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) akan ditangguhkan sehingga keadaan mengizinkan manakala aktiviti kokurikulum akan diadakan secara dalam talian) serta pelajar diberi kelonggaran untuk memakai baju PJK atau sukan pada hari yang tiada mata pelajaran PJK sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok