Pelajar MITS yang mengikuti Jaulah Ilmu ke Pulau Pinang, baru-baru ini.
Pelajar MITS yang mengikuti Jaulah Ilmu ke Pulau Pinang, baru-baru ini.

Jaulah Ilmu: Medan pelajar tambah ilmu pengetahuan

ROSHLAWATY MD RAIEH
27 Feb 2024 11:39am
A
A
A

Seramai 90 pelajar Tingkatan Satu Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam, Selangor mengikuti Jaulah Ilmu ke Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pengarah program, Ustazah Nur Khasanah Ulfah Mohamad Anuar berkata, program bertujuan memberi peluang kepada para peserta menambah ilmu pengetahuan tentang institusi masjid dan agama yang terdapat di negeri berkenaan.

Katanya lagi, ia turut dijadikan medan meningkatkan semangat dan motivasi pelajar yang baru sahaja menduduki peperiksaan akhir tahun di mana rata-ratanya mereka yang berjaya menamatkan fasa tahun pertama hafazan enam juzuk al-Quran di MITS Sabak Bernam.

Sambung Ustazah Nur Khasanah Ulfah, sekumpulan guru seramai lapan orang yang terdiri daripada ustaz dan ustazah, turut terlibat sebagai pembimbing jaulah.

“Program mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Kumpulan Sokongan Ibubapa Tingkatan 1 (PSG F1) yang turut sama membantu dari segi keperluan pelajar, kewangan, persiapan dan sebagainya.

“Saya ingin merakam ucapan terima kasih atas keprihatinan semua pihak dalam menjayakan program berilmu ini,” jelasnya.

Terdahulu, Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi Jaulah Ilmu kerana negeri berkenaan memiliki kepelbagaian dan peranan institusi dakwah, masjid serta agama yang jarang di ketahui ramai.

Ia berlangsung selama tiga hari dengan menyajikan pelbagai pengisian ilmu kepada para peserta.

Artikel Berkaitan:

Antara yang disediakan adalah siri kuliah ilmu bersama Ustaz Shamsuri Ahmad; sesi santai al-Quran di Yayasan Al Nahdoh; kuliah Subuh bersama Pencetus Ummah (PU) Razi; kuliah Dhuha di Masjid Negeri Pulau Pinang dengan Ustaz Datuk Mohd Nordin Samah dan sebagainya.

Seterusnya, peserta berpeluang melawat Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), menaiki bot ke Pulau Batu Aman, menikmati keindahan Taman Botani, Penang Hill dan singgah ke beberapa buah masjid seperti Masjid Terapung Tanjung Bungah, Masjid Negeri dan Masjid Lebu Acheh.

Akhir sekali, diharapkan peserta dapat memanfaatkan Jaulah Ilmu sebaik mungkin sekali gus cakna dengan perkembangan institusi agama, dakwah dan masjid sebagai inisiatif melahirkan professional huffaz kelak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok