Guru dinasihatkan agar memastikan pelajar sihat semasa tempoh cuaca panas.
Guru dinasihatkan agar memastikan pelajar sihat semasa tempoh cuaca panas.

Cuaca panas: Sesi persekolahan di Kedah diteruskan

05 Feb 2024 10:06am

Sesi persekolahan di Kedah diteruskan seperti biasa walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di negeri itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian akan sentiasa memantau keadaan dan menasihati guru serta ibu bapa agar memastikan pelajar sihat semasa tempoh cuaca panas itu.

"KPM memang sentiasa bekerjasama dengan METMalaysia dalam isu cuaca ini, saya mohon ibu bapa dan guru-guru pantau keadaan anak-anak seperti ingatkan mereka agar sentiasa minum air.

"Ada garis panduan yang sentiasa kita ingatkan dari semasa ke semasa supaya dapat tangani isu berkait rapat isu cuaca panas. Insya-ALLAH tak ada apa-apa, sikit lagi, empat hari saja lagi (sebelum cuti sekolah bermula)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Kedah pada Sabtu.

Pada Sabtu, METMalaysia memaklumkan tiga kawasan terbabit dengan amaran cuaca panas itu ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Menurut kenyataan itu, status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius dan dijangka berlaku sekurang-kurangnya untuk tiga hari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fadlina berkata, bagi BAP untuk negeri Kedah, lebih RM45 juta diperuntukkan kepada 302,640 murid di 750 buah sekolah.

Selain BAP katanya KPM turut menyediakan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) untuk semua murid prasekolah KPM, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peluasan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).

"Kesemua bantuan ini menggambarkan keprihatinan KPM untuk mengatasi isu kemiskinan multidimensi dan dalam masa yang sama menoktahkan keciciran dalam kalangan murid," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp