4. POSTER BENGKEL GURU SATRIA CIPTA 2021
4. POSTER BENGKEL GURU SATRIA CIPTA 2021

Cungkil bakat inovasi pelajar melalui Program Satria Cipta 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Sep 2021 06:19pm
A
A
A

Dalam usaha memberi peluang dan menyediakan platform kepada murid untuk mengetengahkan bakat dalam bidang inovasi, Syarikat MediaFoundry Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Khazanah Nasional Berhad mengadakan Program Satria Cipta 2021 - Design Thinking dan Pitching untuk Inovasi Kreatif Kesenian, Warisan dan Budaya.

Program yang turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran (KPM) dan mula dijalankan pada 31 Mei lalu hingga 30 November 2021 ini bertujuan memberikan pendedahan kepada murid sekolah  mengenai inovasi serta kreativiti kesenian bagi menghasilkan sesuatu cerita atau jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul.

Ketua Pegawai Eksekutif MediaFoundry Sdn Bhd, Nor Haslina Mohamed, berkata matlamat utama program ini ialah memupuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif untuk diadaptasikan oleh guru serta murid bagi membantu aspek pembelajaran atau menyelesaikan masalah di dalam mahupun luar sekolah.

Menurut beliau, terdapat dua aktiviti utama dalam Satria Cipta iaitu Pertandingan Satria Cipta Secara Dalam Talian untuk murid-murid dan Bengkel Guru Satria Cipta Secara Dalam Talian yang dikhaskan untuk warga pendidik.

"Bagi Bengkel Guru, penyertaan terbuka kepada guru yang mengendalikan kelab atau persatuan di sekolah dan guru yang mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), Sains atau Sejarah.

"Bagi Pertandingan Satria Cipta pula, ia terbuka kepada murid sekolah rendah Tahap 1 (7-9 tahun) dan Tahap 2 (10 - 12 tahun) membabitkan semua sekolah rendah seluruh Malaysia," ujarnya.

Pihak sekolah boleh menghantar seberapa banyak penyertaan individu dan setiap murid akan mewakili satu penyertaan serta perlu menyiapkan Kertas Cadangan Projek kepada penganjur mengikut soalan yang akan diberikan dalam bentuk PowerPoint atau medium yang bersesuaian.

Setiap penyertaan perlu mengikut modul di dalam Buku Aktiviti Satria Cipta yang dibekalkan kepada semua sekolah yang menyertai pertandingan ini.

Jelas Nor Haslina lagi, pihak penganjur akan memilih peserta yang akan bersaing di peringkat akhir bagi merebut pelbagai hadiah menarik seperti wang tunai, tablet dan gajet.

"Peserta akan diadili menerusi persembahan dalam talian yang dijangka diadakan pada 20 November 2021.

“Rebutlah peluang ini untuk kita sama-sama mencungkil bakat baharu dan menonjolkan kreativiti murid-murid dalam menyelesaikan masalah,” ujar beliau lagi.

Pendaftaran untuk kedua-dua kategori berkenaan masih dibuka sehingga 26 September 2021 manakala untuk tujuan penghantaran penyertaan pula sah sehingga 6 Oktober 2021.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok