no image

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

Azliyana Sulaiman
31 Dec 2020 03:00am
A
A
A

Melihatkan anak muridnya yang terdiri daripada orang asli berlari keriangan ke sana ke mari mengejar haiwan di padang sekolah, guru ini tercetus ilham untuk membina sebuah taman yang menempatkan pelbagai haiwan.

Cikgu Alfian

Guru Cemerlang Prasekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong Pinang, Bandar Tenggara, Johor, Alfian Mansor berkata, setiap kali waktu rehat anak murid akan berkejaran menjalani eksplorasi alam di padang sekolah.

"Melihatkan mereka yang suka mengejar belalang dan menangkapnya untuk dijadikan mainan, saya membina 'Rimba Kecil' dengan menempatkan 12 ekor arnab, enam ekor kura-kura, sembilan ekor burung bajidan 30 ekor ikan emas.

"Ternyata mereka sangat seronok berkunjung ke Rimba Kecil ini dan ridak lagi berkeliaran di padang sekolah," katanya.

Projek yang dimulakan pada 21 November tahun lalui itu mendapat sokongan penuh daripada Guru Besar, Azmi Wahid.

Murid diberi peluang bermain dengan arnab di padang pada waktu rehat

Selang hampir sebulan kemudian Rimba Kecil yang diimpikan siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari lalu.

"Selain membawa suasana berbeza, projek ini menjadi destinasi pembelajaran langsung kepada murid melalui pelbagai aktiviti penerokaan, seperti mengenal ciri, habitat dan jenis haiwan.

"Malah, ia juga dapat merangsang kecenderungan pelbagai (Multiple Intelligent) murid, khususnya kecenderungan natural, kinestatik, linguistik dan sebagainya," katanya.

Guru yang juga berasal dari Johor ini berkata, pihak sekolah banyak dibantu bapa kepada salah seorang murid sekolah itu yang merupakan seorang tukang kayu mahir, Adenan Lekok.

Pada waktu rehat murid menyerbu Rimba Kecil untuk melihat haiwan kegemaran mereka

“Keseluruhan projek ini adalah bernilai hampir RM2,000 hasil sumbangan warga sekolah, ibu bapa, masyarakat dan juga penternak haiwan,” katanya.

Jadi tumpuan

Cikgu Alfian berkata, pada awalnya kos makanan haiwan di Rimba Kecil ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri namun hasil kesepakatan dan muafakat warga sekolah, satu tabung sumbangan bulanan dilancarkan bagi menampung kos perbelanjaan untuk makanan, pembersihan, penjagaan dan rawatan haiwan.

“Rimba Kecil ini bukan sahaja membantu murid menjalani eksplorasi alam dengan lebih luas, tetapi juga menjadi satu destinasi riadah untuk merehatkan diri.

“Selain warga sekolah, murid-murid dan penduduk kampung, projek Rimba Kecil ini turut menjadi tumpuan pelawat yang berkunjung ke sekolah ini,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan haiwan yang terdapat di Rimba Kecil itu dibeli selain sumbangan daripada pelbagai pihak.

Keletah arnab yang comel menarik perhatian murid di Rimba Kecil

Antara cabaran terbesar beliau adalah untuk memastikan Rimba Kecil sentiasa bersih dan semua haiwan dalam keadaan sihat.

"Saya kena pastikan kawasan persekitaran Rimba Kecil selamat dan selesa kepada pengunjung.

“Bagi memastikan kebersihan terjaga kawasan Rimba Kecil dan kolam ikan akan dicuci dua kali seminggu manakala kerja pembuangan najis arnab dilakukan setiap hari selepas waktu persekolahan," katanya.

Katanya, buat masa ini pihak sekolah masih menggunakan sistem cucian kolam secara manual.

"Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk menyumbang sistem pengaliran dan pembersihan air kolam,” katanya.

Ciri dan habitat haiwan ditulis Rimba Kecil.

Sementara itu, Cikgu Azmi berkata, beliau sangat teruja dan hampir setiap hari meluangkan masa di Rimba Kecil.

“Murid-murid juga sangat gembira setiap kali melihat aksi dan gelagat comel haiwan yang terdapat di dalam Rimba Kecil. Selalunya pada waktu rehat murid-murid akan diberi peluang untuk bermain bersama arnab di padang sekolah.

Burung baji yang turut menarik perhatian pengunjung

“Pada saya, projek ini berjaya menjadi faktor penggalak kepada murid untuk hadir ke sekolah setiap hari. Malah, pada waktu cuti juga murid-murid akan datang ke sekolah semata-mata ingin melihat haiwan di Rimba Kecil,” jelasnya.

Artikel Menarik:

Gerobok Rezeki, guru buat kutipan bulanan bantu pelajar kurang mampu

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih

Tiga tahun pakai kasut koyak...cikgu ini sebak kenang nasib pelajar Tingkatan Dua

'Kami solat dhuha, cikgu' - Jawapan murid Tahun Tiga buat PK HEM terharu bercampur gembira

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok