Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

Dewan selera kotor: Beberapa MRSM dalam perhatian

SAIFULLAH AHMADSAIFULLAH AHMAD
07 Sep 2024 09:17pm

IPOH - Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang memantau beberapa lagi Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang tidak mematuhi aspek kebersihan untuk diambil tindakan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu susulan kejadian yang berlaku di MRSM Taiping melalui aduan daripada ibu bapa pelajar, penyelia asrama dan pengetua mengenai kualiti perkhidmatan oleh kontraktor dewan selera di MRSM.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil kepada kontraktor yang bersikap sambil lewa kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kesihatan pelajar.

"Saya tahu dua ke tiga MRSM hadapi perkara yang sama (masalah kebersihan) dan mereka pun tahu siapa mereka.

"Kita nak memberikan isyarat juga kepada mana-mana kontraktor lain yang mengambil pendekatan sambil lewa sehingga boleh memberikan kesan mengancam soal nyawa kesihatan dan juga kesejahteraan anak-anak kita yang sedang belajar," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini Jumaat.

Asyraf Wajdi turut bertegas tidak akan tunduk dengan mana-mana tekanan susulan tindakannya terhadap kontraktor makanan dewan selera MRSM tersebut.

Jelasnya, arahan telah diberikan kepada Bahagian Perundangan Mara untuk segera mengambil tindakan undang-undang dengan mengheret ke mahkamah selain menamatkan kontrak.

Beliau berkata, pihaknya juga memandang serius tindakan pihak kontraktor utama menyerahkan pengurusan dewan selera kepada kontraktor lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak kira kabel sebesar mana sekalipun kalau melibatkan nyawa, kesihatan anak-anak pelajar saya tidak akan kompromi.

"Saya ingin mengingatkan kita ada beberapa tindakan yang boleh diambil contohnya Bon Pelaksanaan (cagaran) yang kita masih pegang, wang itu akan diambil selain tindakan undang-undang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa Dewan Selera MRSM Taiping kembali diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan selama 14 hari sehingga 20 September depan.

Terdahulu Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui hantaran di Facebook susulan lawatan ke MRSM Taiping pada 5 September 2024 memaklumkan menerima laporan daripada ibu bapa pelajar di institusi tersebut mengenai kes keracunan makanan yang berlaku.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp