
Digital tidak ganti naskhah cetak
Pelajar masih perlukan sentuhan buku, lebih fokus tanpa gangguan skrin
Meskipun kini masyarakat berada dalam dunia yang semakin maju, ramai menjangkakan buku fizikal akan lenyap ditelan arus kemodenan.
Manakan tidak, apabila kita memegang telefon pintar mahupun tablet, semuanya di hujung jari untuk kita mencari maklumat.
Bukan sahaja mudah, malah tidak perlu menunggu masa terlalu lama untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan lebih-lebih lagi pelajar yang berada di dunia digital kini.
Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, pelajar memerlukan buku fizikal untuk membaca atau mengulang kaji pelajaran.
“Lebih elok jika ada buku fizikal. Lagipun ia boleh membuatkan anak-anak fokus kerana jika menggunakan gajet, mereka mudah terganggu.
“Anak-anak yang berada di pedalaman juga memerlukan buku kerana mereka sukar mendapat capaian internet dengan jelas.
“Selain daripada mereka, kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran juga memerlukannya. Buku sangat bermanfaat untuk golongan ini,” katanya kepada Sinar Bestari.

Meskipun berdepan dengan kehebatan digitalisasi kini, Hasnah mengakui bahawa buku tidak pernah terhapus dan menjadi pilihan utama setiap lapisan masyarakat terutama dalam kalangan pelajar.
“Saya yakin buku fizikal tidak akan terus terhapus, keperluannya kepada golongan pelajar itu tetap akan ada,” katanya.
WHO saran dua jam sehari
Dalam era teknologi serba canggih, pembelajaran dalam talian bukan lagi sesuatu yang asing, malah menjadi sebahagian norma baharu dunia pendidikan.
Bagaimanapun, kemudahan berkenaan tetap perlu digunakan secara bijak dan terkawal.
Hasnah berkata lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengehadkan hanya dua jam diperlukan kepada pelajar untuk melihat skrin telefon pintar atau tablet.
“Untuk anak-anak yang berusia lima hingga tujuh tahun, mereka lebih digalakkan kerana mereka boleh terjangkiti eye strain iaitu ketegangan atau ketidakselesaan mata sementara.
“Ia boleh berlaku apabila mata menjadi letih kerana terlalu fokus pada skrin, selalunya membawa kepada gejala seperti mata kering dan penglihatan jadi kabur,” katanya lagi.
Langkah itu bukan bertujuan untuk menyekat akses kepada ilmu tetapi lebih kepada mendidik pelajar agar bijak mengurus masa dan mengelakkan kebergantungan berlebihan terhadap skrin.
Banyak membaca, buka minda pelajar
Budaya membaca merupakan asas penting dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, berpengetahuan luas dan bersahsiah tinggi.
Sebahagian besar pelajar lebih tertarik dengan skrin berbanding buku, tanpa menyedari bahawa membaca bukan sekadar mengisi masa lapang, sebaliknya satu perkara yang diperlukan untuk kecemerlangan diri.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bilal, Batu Pahat, Aminah Yusof, 57, berkata, warga pendidik memainkan peranan besar untuk memujuk anak-anak minat membaca.
“Bahan bacaan masih relevan. Kami sebagai guru hanya perlu memberi didikan menerusi buku di sekolah. Secara tidak langsung, itu membuatkan anak murid membuka buku.
“Kena banyak membaca, jadi pihak sekolah adakan inisiatif untuk membawa pelajar ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) supaya mereka dapat lihat sebenarnya bahan bacaan ini banyak.
“Jika mereka banyak membaca tidak kira novel atau komik mahupun bahan ilmiah, minda mereka terbuka,” katanya.
Aminah berkata lagi, pembelajaran di sekolah telah menggunakan dua kaedah iaitu menggunakan buku fizikal dan menggunakan akses internet.
“Sebenarnya internet memudahkan lagi kerana mudah akses, tetapi tidak perlu meninggalkan sepenuhnya buku fizikal.
“Dengan buku, banyak informasi yang pelajar boleh dapat. Lagi banyak buku dibaca, lagi banyak ilmu yang mereka perolehi,” katanya.