Untitled (40)
Untitled (40)

DIP lahir bakat baharu bidang inovasi dan digital

Nor Azma  Muhamat Laila
05 Oct 2021 05:08pm
A
A
A

CYBERJAYA - Agensi penerajui ekonomi digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini mengumumkan pelancaran Program Inovator Digital (DIP), program pendidikan menengah pertama untuk penginovasi muda yang berbakat.

Pelancaran program ini telah dirasmikan secara maya oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Program ini memberi fokus kepada pembangunan penginovasi masa depan menerusi kurikulum Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) yang akan memastikan kemunculan bakat baharu dalam bidang teknologi yang konsisten untuk memenuhi keperluan ekonomi digital.

Pembangunan DIP ini juga merupakan hasil daripada kejayaan program Digital Ninja MDEC, inisiatif kurikulum tambahan untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 5 yang diadakan semasa cuti sekolah sehingga berjaya melahirkan 515 penginovasi muda berpotensi tinggi sejak lima tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata DIP adalah inisiatif penting yang berperanan merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) iaitu untuk melahirkan pencipta dan penginovasi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

"Pelaksanaan program pendidikan menengah untuk murid pintar yang mengguna pakai program Digital Ninja dan tambahan kepada libat urus mampan antara murid, guru serta mentor industri juga akan membantu untuk memupuk lebih ramai penginovasi di negara ini," kata beliau.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MDEC untuk mendorong peningkatan asas, kemahiran dan pengetahuan digital, DIP turut menjadi program penting dalam usaha memperkenalkan arah tuju teknologi digital ke dalam kurikulum pendidikan, selaras dengan Gerakan #SayaDigital.

Gerakan #SayaDigital dilancarkan bertujuan menambah baik kemahiran rakyat Malaysia untuk berjaya dalam ekonomi digital dengan mewujudkan kesedaran mengenai gaya hidup pintar, peluang sama rata dan teknologi digital kepada komuniti bandar dan luar bandar.

Dilengkapi dengan Ruang Pencipta Digital (Digital Maker Space) yang canggih, DIP dapat memupuk kreativiti para murid untuk menyelesaikan masalah terkini melalui teknologi digital dengan menyediakan lebih banyak peluang PBL dan bimbingan untuk memupuk kemahiran keusahawanan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Selain itu, para murid juga didedahkan dengan program terkini dan kemahiran berkaitan lain yang menyentuh berkenaan Sains Data, Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Siber dan Pembangunan Aplikasi Mudah Alih menerusi perjalanan pembelajaran di Kolej GENIUS@Pintar Negara, UKM.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata DIP merupakan kerjasama antara UKM dan industri seperti MDEC dalam usaha untuk mengukuhkan budaya digital berdasarkan lima nilai teras UKM.

"Budaya digital ini akan menggunakan pendidikan futuristik dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran yang memberi penekanan kepada ekosistem pendidikan dilengkapi dengan robot dan teknologi penciptaan dron, realiti terimbuh (augmented) dan maya, dan peralatan yang mendorong UKM menjadi peneraju pendidikan tinggi global.

“Saya berharap kerjasama ini akan menyumbang kepada transformasi pendidikan nasional. UKM akan menyokong hasrat ini dengan mengasah bakat berkualiti bagi menyediakan pakar ICT untuk pembangunan ekonomi digital negara pada masa hadapan," kata beliau.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Pusat GENIUS @ Pintar Negara, UKM adalah institusi pendidikan untuk murid-murid berbakat yang berumur 12 hingga 17 tahun. Sebelum ini, program ini merangkumi hanya Aliran Sains untuk murid-murid yang berbakat.

KPM menerusi kenyataan pula berkata, kementerian sentiasa memainkan peranan aktif dalam menyediakan sistem pendidikan yang spesifik, mencabar dan holistik untuk memelihara murid berbakat agar mereka dapat mencapai potensi optimum sehingga menjadi aset negara yang berharga.

“KPM sangat percaya bahawa kerjasama kukuh bersama UKM dan MDEC akan meningkatkan lagi matlamat kementerian untuk mengembangkan generasi muda yang berpengetahuan tinggi, mahir dan terkenal terutamanya dalam teknologi digital, ” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok