KPM akan terus memastikan semua program di KV mendapat akreditasi penuh - Fadhlina. 
KPM akan terus memastikan semua program di KV mendapat akreditasi penuh - Fadhlina. 

Diploma di KV dapat pengiktirafan MQA

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Feb 2023 04:40pm

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sebanyak 606 program peringkat diploma telah ditawarkan kepada 86 Kolej Vokasional (KV) di negara ini.

Kesemua program diploma tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehingga kini sebanyak 572 bersamaan 94.4 peratus program diploma telah mendapat pengiktirafan akreditasi penuh.

“Baki sebanyak 34 bersamaan 5.6 peratus program lagi masih dalam proses penilaian oleh MQA.

“Kelewatan penilaian ini disebabkan pandemik Covid-19 dan keputusan akreditasi penuh dijangka akan diperolehi pada Jun depan,” ujarnya pada sesi Pertanyaan-Lisan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) yang meminta KPM menyatakan berapa banyak kursus ditawarkan di KV dalam program Diploma Vokasional Malaysia dan berapakah program atau kursus yang telah mendapat atau belum pengiktirafan dari MQA setakat ini.

Sambung Fadhlina, KPM akan terus memastikan semua program di KV mendapat akreditasi penuh dan mereka juga akan melakukan pemantauan berterusan bagi menjamin kualiti program mematuhi standard akreditasi MQA.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp